Ahad, 2 Disember 2012

Lemas Ketika Mandi Di Sungai


KUALA KRAI - Hajat seorang rakan untuk membantu temannya yang tergelincir ke dalam Sungai Durian di sini membawa padah apabila kedua-duanya lemas dihanyutkan arus deras kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Abdul Latif Alias, 6, Muhammad Zarrin Mohd. Amin, 8, dikatakan sedang mandi di sungai tersebut.

Adik kepada Muhammad Zarrin, Muhammad Qiamuddin, 6, yang berada di tebing sungai itu berkata, abangnya cuba menyelamatkan Muhammad Abdul Latif yang tergelincir, namun kedua-duanya dibawa arus.

"Abang cuba tolong apabila Latif jatuh tetapi dia hanyut juga. Bila nampak dua-dua hanyut, saya terus berlari ke pondok (tempat berehat) untuk minta pertolongan," katanya di sini semalam.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai itu kira-kira 30 meter dari tempat mereka dikatakan terjatuh sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) di sini.

Jenazah dua rakan karib yang tinggal berjiran itu kemudian disemadikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pondok Sungai Durian, dekat sini kira-kira 9.30 pagi semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan