Sabtu, 1 Disember 2012

Terkejut Jumpa Mayat

Mayat yang ditemui terdampar di beting batu pantai Marina Bay, Miri 

MIRI: Sepasang warga emas yang keluar untuk menangkap ketam awal pagi semalam di kawasan pantai Marina Bay terkejut apabila mendapati objek yang disangka sebatang kayu balak terdampar rupa-rupanya mayat bogel.

Ketika ditemui, mayat bogel tanpa identiti serta belum dikenal pasti jantinanya itu sudah berbau busuk terutama di bahagian kepala yang hampir reput keseluruhannya.

Dalam pada itu, menurut Awang Lias, 61, beliau dan isterinya pergi ke pantai berkenaan seawal jam 5 pagi semalam untuk menangkap ketam.

Sekitar jam 6.30 pagi, semasa hendak membuang air kecil di kawasan beting batu di gigi pantai berkenaan, tiba-tiba beliau ternampak satu objek menyerupai sebatang kayu balak hanyut terdampar di beting batu berkenaan.

Ketika menghampiri objek itu, beliau terkejut apabila melihat benda yang disangka kayu balak rupanya sekujur mayat bogel.

Sejurus itu, Awang Lias terus memaklumkan penemuan mayat terbabit kepada pengawal keselamatan yang bertugas di Marina Bay untuk menghubungi pihak polis.

Melihat kepada keadaan mayat yang telah busuk dengan bahagian kepala dan muka telah reput keseluruhannya selain kulit di beberapa bahagian badannya mengelupas, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Bagaimanapun katanya, setakat ini polis masih belum dapat mengesahkan identiti serta jantina mayat terbabit sehingga proses bedah siasat dilakukan.

“Jantina mayat terbabit hanya dapat dikenal pasti selepas bedah siasat dilakukan berikutan keadaan mayatnya yang telah busuk dan reput terutama di bahagian kepala dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sehubungan itu, kita akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenali identiti mayat terbabit termasuk melihat senarai laporan orang hilang.

Pada masa sama, kita menggesa orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang hilang supaya tampil melakukan pengecaman terhadap mayat terbabit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan