Jumaat, 7 Disember 2012

Maut Ditembak Ala Mafia

Menunjukkan tempat rakan mereka, Siva ditembak seorang lelaki bertopeng

GOMBAK - Seorang peniaga besi buruk maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki dalam serangan ala mafia di sebuah warung di hadapan kilang simen YTL Batu Caves di sini semalam.

Kejadian pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika M. Siva, 22, sedang minum di gerai tersebut bersama seorang rakan sebelum didatangi suspek yang bertubuh tegap dari arah belakang premis.

Difahamkan, mangsa mempunyai rekod jenayah berhubung kes samun.

Suspek yang memakai topeng ski kemudian melepaskan tembakan lalu mengenai dada, perut dan kedua-dua lengan mangsa. Rakan mangsa bagaimanapun tidak cedera.

Mangsa disahkan mati 20 minit kemudian ketika dirawat di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan percaya ia dilakukan oleh seorang suspek.

Katanya, penyerang yang dipercayai berketurunan India memakai seluar jean biru dan batu T belang putih biru ketika kejadian.

"Kita tidak menemui sebarang kelongsong peluru di tempat kejadian walaupun rakan mangsa mengatakan dia terdengar tiga das tembakan," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali memberitahu, selepas kejadian, seorang pemuda yang memakai baju putih berlari ke arahnya memaklumkan rakannya telah ditembak.

"Saya kemudian menghubungi talian 999 sebelum pergi ke lokasi kejadian dan melihat seorang lelaki terbaring di atas papan di hadapan warung yang ditutup.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan