Khamis, 6 Disember 2012

Padah Mencuri

Kenderaan suspek yang hangus terbakar dalam insiden berkenaan

KOTA KINABALU: Seorang penjenayah terpaksa menanggung padah setelah cubaan melarikan beg galas milik wanita tempatan dengan menggunakan kereta Perodua Myvi akhirnya gagal setelah dia mengalami kemalangan berhampiran stesen minyak Shell di Jalan Tuaran, pagi kelmarin.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku sekitar jam 2 pagi itu.

Dipercayai suspek yang berusia 33 tahun terbabit, sebelum itu telah mencuri beg milik mangsa berusia 30an di kawasan Luyang, sebelum dikejar oleh orang awam yang menyaksikan insiden itu menggunakan sebuah kenderaan dalam kejadian berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika dikejar suspek difahamkan hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran stesen minyak Shell di Jalan Tuaran namun sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaan yang mulai terbakar berkenaan.

“Ekoran daripada kemalangan itu, suspek turut mengalami kecederaan di bahagian anggota badan dan ditahan polis yang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Jauteh lagi, polis turut menemui sebilah pisau di tempat kejadian dan beberapa barangan seperti beg galas milik mangsa di perkarangan kawasan tempat insiden.

“Siasatan awal polis juga mendapati Perodua Myvi yang dibawa suspek merupakan kenderaan curi. Bagaimanapun, kita masih menyiasat kes ini secara terperinci.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil menghulurkan bantuan bagi membantu siasatan kes,” katanya.

Suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan