Isnin, 10 Disember 2012

Polis Jumpa Bungkusan Mengandungi Uri

SIBU: Misteri bau busuk yang menghantui sekumpulan penyewa bilik di tingkat dua sebuah bangunan kedai di sini terbongkar, apabila pihak polis menjumpai sebungkus plastik yang mengandungi uri (tembuni) di salah satu bilik sewa berkenaan.

Penyewa bilik terbabit yang merupakan seorang wanita warga Indonesia berusia 30-an bagaimanapun telah menghilangkan diri.

Terdahulu, kumpulan penyewa terbabit mengadu kepada pemilik bilik sewa yang kebetulan sedang mencari wanita berkenaan.

Ini susulan tindakan majikan wanita terbabit yang memohon bantuan daripada pemilik bilik sewa berkenaan untuk mencarinya.

Difahamkan wanita berkenaan yang bekerja di sebuah kedai menjual kuih di sini sudah tiga hari tidak datang bertugas.

Beberapa hari sebelum ini, wanita terbabit yang telah dua bulan bekerja di sini difahamkan telah memohon cuti sakit. Sejak itu, majikan wanita terbabit tidak tahu akan kelibatnya.

Sementara itu, bungkusan uri terbabit kemudian dibawa ke Hospital Sibu. Siasatan lanjut masih lagi dilakukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan