Isnin, 10 Disember 2012

Mangsa Kumpulan Penyeluk Saku

Rakaman CCTV di kedai komestik

KUCHING: Dua wanita dalam lingkungan usia 20-an menjadi mangsa penyeluk saku oleh kumpulan yang sama di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Datuk Tawi Sli, kelmarin.

Insiden pertama berlaku di sebuah kedai yang menjual barangan kecantikan iaitu ketika mangsa berada di kaunter bayaran.

Suspek dikatakan mengenakan skaf, turut dibantu oleh dua rakan di mana salah seorang daripadanya adalah lelaki.

Menurut sumber, suspek dikatakan menghimpit mangsa sementara melihat barangan yang dipamerkan di kaunter, sambil tangannya yang dilindungi skaf menyeluk beg tangan mangsa.

Dipercayai suspek kemudiannya menyerahkan telefon bimbit iPhone yang diperolehnya kepada salah seorang rakan sementara seorang bertindak sebagai pelindung agar kegiatan mereka tidak disedari orang lain.

Mangsa yang kemudiannya keluar dari kedai tersebut meyedari iPhone miliknya hilang dan masuk semula ke kedai itu untuk mencari.

Mereka seterusnya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Kumpulan itu turut menggunakan taktik yang sama terhadap seorang lagi wanita di bahagian pasar raya kompleks beli-belah tersebut.

Mangsa ketika itu bersama teman lelaki dan bapanya sedang membeli-belah dan melihat barangan keperluan apabila dihampiri oleh kumpulan tiga orang itu.

Teman lelaki mangsa menyedari sesuatu tidak betul setelah mereka beredar dan menyuruh mangsa memeriksa begnya serta mendapati telefon bimbit telah hilang.

Mereka kemudiannya menunggu kumpulan tersebut untuk keluar sebelum menghampiri mereka.

Bagaimanapun, suspek yang menggunakan skaf itu menafikannya dan menyuruh mereka memeriksa sendiri badannya sambil melangkah keluar dari bangunan tersebut.

Kumpulan tersebut seterusnya melarikan diri dengan sebuah Proton Waja yang di dalamnya terdapat dua lelaki dan seorang wanita.

Mangsa mencatat nombor pendaftaran kereta itu dan menyerahkannya kepada polis ketika membuat laporan.

Namun pemeriksaan mendapati Waja itu mengenakan nombor pendaftaran palsu memandangkan ia merupakan nombor motosikal, dipercayai telah dicuri.

Siasatan masih dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan