Rabu, 5 Disember 2012

Warga Emas Mati Melecur

Kebakaran di Kampung Sogo-Sogo yang mengorbankan seorang lelaki warga emas

TELUPID: Seorang warga emas ditemui mati melecur selepas rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Sogo-Sogo, Jalan Tongod di Telupid, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Nudi Inggoh @Maludi Kalis, 62, yang tinggal berseorangan ditemui di dalam sebuah bilik tidur di rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bomba Sandakan, Jemishin Ujin berkata mangsa ditemui melecur seluruh badan dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 5 pagi itu.

Difahamkan, keluarga mangsa menetap di kampung berlainan dan jiran sebelah menyedari kejadian itu hanya apabila rumah mangsa hampir hangus.

“Mayat mangsa telah diserahkan ke Hospital Telupid untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga,” katanya.

Menurut beliau, sebuah jentera dan 15 anggota bomba dari Sandakan dan Kinabatangan dikejarkan ke tempat kejadian selepas Balai Bomba Kinabatangan menerima laporan kejadian dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan kira-kira jam 9.45 pagi.

Jelasnya, dengan jarak 141 kilometer, anggota bomba dari Kinabatangan tiba di lokasi kejadian pada jam 11.42 pagi dan mendapati rumah simen kekal itu hanya tinggal bara api.

Beliau menambah, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan