Khamis, 14 Mac 2013

Dua Anggota Tentera Terkorban Naik Pangkat

Penghormatan terakhir

PETALING JAYA: Dua anggota tentera yang terkorban dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu dinaikkan pangkat kepada Koperal penuh, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Beliau berkata, imbuhan untuk kedua-dua ibu bapa Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Ruslan, 21, akan diberi melalui beberapa faedah perkhidmatan.

“Wang bukan boleh mengubati kesedihan kehilangan orang tersayang tapi ia tanda rasa prihatin daripada Kementerian Pertahanan, warga angkatan tentera dan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita di Pangkalan TUDM Subang, di sini semalam. Beliau hadir memberikan penghormatan terakhir apabila jenazah dua wira negara itu diterbangkan ke sini dari Sabah.

Turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Hurairah merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah 12 Feb lepas.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu terkorban dalam pertempuran yang berlaku pada jam 10.45 pagi kelmarin manakala Ahmad Farhan Ruslan yang berasal dari Pasir Tumbuh, Kota Baharu, Kelantan terkorban dalam kemalangan di Jalan Tungku, Kampung Bakapit, Lahad Datu pada jam 7.30 pagi kelmarin.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata ibu bapa kedua-dua anggota yang terkorban itu akan menerima pencen terbitan kira-kira RM2,500 dan perincian mengenainya akan diumum kemudian.

Beliau berkata mereka juga akan menerima faedah lain secara kumulatif hampir RM170,000 termasuk insurans berkelompok daripada koperasi dan Tabung Angkatan Tentera. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan