Khamis, 19 Julai 2012

Bapa Sedih Siti Norzana Kena Jual

Nordi bersama Nurul Safiza, Muhammad Nurhan dan Nurmasyita masih menunggu kepulangan Siti Norzana 

JOHOR BAHRU – Bapa kepada Siti Norzana Nordi, 12, yang dipercayai telah dijual dan menjadi mangsa pemerdagangan orang terkejut dan terlalu sayu mendengar nasib malang yang menimpa anak kesayangannya itu.

“Saya tidak tahu hendak kata apa, saya cukup sedih. Bila menatap wajahnya di akhbar, saya dapat rasa beban yang sedang ditanggungnya,” kata Nordi Adi, 40, semalam.

Nordi yang telah menceraikan isterinya, Karsini Kaslam, 25, percaya, perbuatan menjual anak sulungnya itu didalangi oleh bekas ibu mertua dan bekas iparnya yang menetap di Mesuji, Lampung, Jawa Timur tidak jauh dari kediaman Karsini.

“Saya hampir pasti dan anak saya, Nurul Safiza Fitri turut beberapa kali maklum kepada saya tentang hal ini,” ujarnya sebak.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini juga mengesyaki sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas Siti Norzana namun tidak mahu mendedahkannya selagi anaknya tidak kembali ke Malaysia bersamanya.

Sebelum ini Siti Norzana bersama tiga adiknya iaitu Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut Nordi.

Hasil bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO, kesemua mereka kecuali Siti Norzana dapat dibawa pulang dari Lampung, Indonesia dan selamat tiba di tanah air pada 30 Jun lalu. Dia ketika itu dikatakan tinggal berasingan dengan saudara ibu tirinya di Temusuci, Indonesia.

Kelmarin, Pengerusi biro berkenaan, Datuk Muhd. Khairun Aseh mendedahkan bahawa kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa pemerdagangan dan dipercayai dijaga seorang lelaki yang telah membelinya dan dipaksa menjadi buruh kasar.

“Kami sekeluarga berdoa agar Zana dapat diselamatkan dan saya berhasrat menemui Zana di sana jika diberi peluang,” kata Nordi - Kosmo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan