Rabu, 25 Julai 2012

Edar Dadah: Dua Warga Iran Dihukum Gantung


SHAH ALAM — Dua lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine yang diikat pada kaki mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati kedua-dua tertuduh, Ali Jalayeridarbandi Mousa, 26, dan Vahid Aliakbarsadeghabadi Abbas, 29, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata kedua-dua tertuduh gagal mematahkan dakwaan bahawa mereka mengedar dadah berkenaan dengan cara mengikatnya di kaki masing-masing.

Beliau berkata, pembelaan kedua-dua tertuduh bahawa dadah berkenaan adalah untuk kegunaan sendiri juga tidak disokong oleh keterangan saksi di mahkamah.

"Justeru hanya satu hukuman di bawah kesalahan ini iaitu mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Ali, seorang tukang kasut, didakwa mengedar methamphetamine seberat 203.9 gram manakala Vahid, seorang jurutera didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 269.6 gram.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan