Rabu, 25 Julai 2012

Tiga Lelaki Bersenjata Kelewang Samun Kedai

BESUT – Tiga lelaki bersenjatakan kelewang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jerteh dan melarikan wang tunai serta barangan bernilai RM3,000 pada kira-kira 3.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Kamaruddin Zakaria berkata, semua lelaki itu meluru masuk dan mengugut dua pembantu kedai berkenaan dengan kelewang ,manakala seorang lagi rakan mereka menunggu dalam kereta.

Beliau berkata, kumpulan penjenayah itu bertindak mengikat tangan seorang pembantu kedai dan mengambil wang tunai daripada mesin wang serta barangan runcit sebelum melarikan diri.

"Kesemua suspek tidak memakai topeng dan tidak banyak bercakap kecuali memberi arahan supaya mangsa diam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, sebaik sahaja penjenayah berkenaan melarikan diri, pembantu kedai yang seorang lagi membuka ikatan di tangan rakannya, sebelum membuat laporan di Balai Polis Jerteh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan