Isnin, 4 Mac 2013

BR1M Amat Bermakna Kepada Penerima


SIBU: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) sebanyak RM500 yang diberikan oleh kerajaan walaupun sedikit tetapi amat bermakna kepada penerima bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee berkata bantuan tersebut ternyata mampu meringankan beban penerima terutama golongan berpendapatan rendah.

“Oleh itu, kita tidak harus mempolitikkan bantuan ini kerana pemberian ikhlas kerajaan ini ternyata telah membantu ramai pihak,” katanya pada Majlis Makan Malam Penghargaan Petugas-petugas BR1M 2.0 Daerah Sibu di sini, malam Jumaat lalu.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sosial Dr Zufar Yadi Brenden Abdullah.

Menurut Dr Annuar, adalah tidak benar bantuan berkenaan merupakan satu pembaziran oleh kerajaan sebagai mana yang didakwa pembangkang.

“Sebaliknya, bantuan ini membantu merangsang ekonomi negara,” katanya yang berpuas hati dengan pengagihan BR1M2.0 di daerah ini.

Sementara menurut Dr Zufar, urusan pengagihan baucar BR1M 2.0 berjalan lancar dan teratur walaupun timbul kesulitan kecil semasa kaunter mula-mula dibuka.

Namun katanya, tindakan segera dalam membaiki kesulitan oleh urus setia telah banyak membantu mengurangkan masalah kepada orang ramai.

“Keadaan ini membolehkan bilangan baucar dapat diagihkan dalam jumlah yang banyak dengan purata antara 2,000 hingga 3,000 baucar berjaya diagihkan sehari,” katanya.

Dari segi statistik, keseluruhan penerima baucar BR1M2.0 di Sibu adalah seramai 54,576 penerima merangkumi lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Assek (9,115), Dudong (13,317), Bawang Assan (11,087), Pelawan (13,002) dan Nangka (8,055).

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 52,558 baucar diagihkan sehingga 28 Februari lalu dengan masih terdapat 2,018 baucar belum dituntut.

Menyentuh mengenai petugas BR1M, Dr Zufar memberitahu bahawa seramai 80 petugas telah ditugaskan di kaunter BR1M yang diselia oleh Pejabat Daerah Sibu.

Mereka terdiri daripada sembilan staf Pejabat Residen, Pejabat Daerah (20), Jabatan Kemajuan Masyarakat (lima), Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (dua), Pejabat Pertanian (satu), Markas 9 Briged (lima) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (38).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan