Selasa, 12 Mac 2013

Rumah Dipecah Masuk Ketika Ke Pasar

Gambar Hiasan

SARIKEI: Seorang penduduk di kawasan Jalan Kwong Ming tampil membuat laporan polis berikutan rumahnya yang terletak di kawasan terbabit dipecah masuk awal pagi semalam.

Menurut mangsa yang berumur 77 tahun, rumahnya itu terletak kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar dan tiada sesiapa yang berada di rumah terbabit pada waktu kejadian.

“Sewaktu kejadian saya sedang berada di pasar Sarikei dan sekembalinya saya dari pasar lebih kurang jam 9.45 pagi, saya mendapati keadaan dalam rumah saya berselerak.

“Berikutan kejadian itu, saya terus bergegas melakukan pemeriksaan dan saya mendapati beberapa barangan saya telah hilang.

“Antara barangan yang dikenal pasti hilang ialah wang tunai RM1,000, mata wang asing Singapura dan Brunei berjumlah sekitar RM1,000, satu unit telefon bimbit jenis Nokia, satu bilah parang tradisional masyarakat Kayan, sijil kelahiran, satu pasport antarabangsa dan satu jam tangan jenis Omega.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kerugian yang saya tanggung belum dapat dipastikan lagi,” katanya di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, tiga bilik tidur ahli keluarganya digeledah manakala satu pintunya turut dipecahkan.

Tambahnya, sejak kebelakangan ini kejadian kecurian yang berlaku di kawasan terbabit semakin menjadi-jadi, terutama melibatkan kehilangan hasil tanaman dan ternakan.

“Pada tahun lalu sahaja, sebanyak tiga pokok dabai saya habis dipetik orang manakala bagi beberapa jiran saya berdasarkan cerita mereka ada yang mengatakan hasil tanaman mereka seperti cili, sayur-sayuran dan ternakan turut menjadi mangsa ‘si tangan panjang’ itu.

“Keadaan ini telah menimbulkan kerisauan kepada penduduk, terutama untuk meninggalkan rumah mereka dalam tempoh tertentu.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil langkah drastik dan berkesan agar aktiviti yang tidak sihat seperti ini dapat dibanteras dengan segera,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan