Selasa, 5 Mac 2013

Syarikat Produk Kesihatan Sumbang RM150,000

Murah Hati - Dr Che Rozmey

ALOR SETAR: Sebuah syarikat produk kesihatan menyumbang RM150,000 kepada keluarga dua anggota polis yang terbunuh dan tiga anggota yang cedera ketika mempertahankan negara daripada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Sumbangan daripada dR Rozmey Group (dRG) Sdn Bhd itu diserahkan presidennya Datuk Dr Che Rozmey Che Din kepada Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Dr Che Rozmey berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM15,000 disumbangkan kepada keluarga Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud yang terkorban dan RM5,000 masing-masing kepada setiap anggota yang cedera.

Beliau berkata syarikatnya turut memperuntukkan RM75,000 untuk insurans pendidikan dan pembiayaan bulanan sebanyak RM200 kepada dua orang anak Allahyarham Zulkifli (berusia lima tahun dan setahun) sehingga berumur 18 tahun.

“Pihak kami juga akan mengambil kedua-dua anak Allahyarham Zulkifli menjadi anak angkat agar masa depan mereka lebih terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu.

Dr Che Rozmey berkata, pihaknya turut menaja pakej menunai umrah sebanyak RM15,000 kepada balu kedua-dua mangsa serta kos upah haji RM2,000 kepada Allahyarham Sabarudin.

“Sumbangan itu tiada nilai jika hendak dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang bertarung nyawa mempertahankan kedaulatan negara khususnya kepada kedua-dua wira negara yang terkorban,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan kepada enam lagi keluarga anggota polis yang terkorban dalam kejadian di Semporna.

Mereka yang terkorban ialah Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, ASP Michael Padel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).

Sementara itu, Ahmad berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat korporat yang ingin membantu ahli keluarga yang terbunuh dalam insiden tersebut.

Katanya sumbangan yang diberikan menunjukkan segala usaha polis yang terkorban dalam mempertahankan negara mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada masyarakat.

“Kita juga akan melancarkan tabung bagi mengutip derma untuk membantu keluarga anggota polis yang terkorban dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan