Isnin, 11 Mac 2013

Tiga Sekawan Maut Kancil Bertembung Lori

Kemalangan mengakibatkan tiga sekawan terbunuh

MIRI: Hasrat tiga sekawan untuk balik ke kampung bertukar tragedi apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Lapok, Bakong semalam menyebabkan ketiga-tiga mereka maut.

Pemandu kereta dan penumpang di tempat duduk hadapan yang dikenali sebagai Jacky Tuba, 27 dan Augustine Lang, 22, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala rakan mereka yang berada di tempat duduk belakang dikenali sebagai Jackson Tanjung Layang berusia dalam lingkungan 20-an pada mulanya mengalami cedera parah.

Jackson dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Menurut sumber, ketika kejadian berlaku kereta Perodua Kancil yang dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabit dalam perjalanan menuju ke pekan Lapok manakala lori berkenaan datang dari arah bertentangan menuju ke Long Lama.

Insiden dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan tersebut bertembung di selekoh tajam berhampiran pekan Lapok dan gagal mengelak antara satu sama lain.

Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan tersebut berlaku masih belum dikenal pasti.

Akibat pertembungan tersebut, pemandu kereta Kancil berkenaan dikatakan tercampak keluar dari kenderaannya, manakala dua lagi mangsa tersepit di dalam kereta termasuk Jackson yang duduk di belakang namun terhimpit oleh tempat duduk hadapan. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan