Rabu, 25 Julai 2012

Enam Pencarum Didenda Kerana Menipu Pengeluaran KWSP


KUALA LUMPUR: Enam ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikenakan tindakan undang-undang kerana kesalahan menipu pengeluaran simpanan bagi tempoh April hingga Jun tahun ini.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata kesemua ahli itu didapati bersalah dan didenda antara RM500 dan RM3,000 oleh mahkamah mengikut Seksyen 59 Akta KWSP 1991.

“Lima daripada enam ahli itu terlibat dengan penipuan pengeluaran perumahan manakala seorang didapati menipu bagi pengeluaran hilang upaya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengikut Akta KWSP, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Nik Affendi mengingatkan pencarum bahawa simpanan KWSP adalah untuk tujuan persaraan dan tidak boleh dimanipulasi bagi tujuan tertentu.

Beliau turut meminta ahli KWSP agar tidak dipengaruhi sindiket yang menawar untuk membantu mereka mengeluarkan simpanan KWSP secara penipuan kerana ini adalah kesalahan yang serius dari segi undang-undang.

Ahli KWSP yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penipuan boleh menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di 03-26162121.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan