Rabu, 25 Julai 2012

Parlimen Sibuti Pergiat Usaha Daftar Pengundi Baharu


MIRI: Jentera Pilihan Raya Parlimen Sibuti akan terus mempergiatkan usaha mendaftar pengundi baharu berikutan pertambahan jumlah penduduk yang layak mengundi di konstituensi terbabit.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata setakat ini, pihaknya telah mendaftar kira-kira 3,000 pengundi baharu menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah lebih 27,000 pengundi.

“Kami masih mengharapkan jentera pilihan raya kami melancarkan gerakan besar-besaran untuk mendaftarkan bilangan pemilih baharu seterusnya memilih kerajaan akan datang,” katanya.

Beliau memberitahu, hak memilih kerajaan terletak di tangan rakyat dan mereka tidak seharusnya mempersia-siakan peluang untuk menentukan kerajaan yang bakal membela nasib mereka kelak.

“Jangan bersikap tunggu dan lihat sebaliknya mereka yang berusia 21 tahun dan layak mengundi harus mendaftarkan diri sebagai pemilih kerana satu undi mampu mengubah nasib mereka,” ujarnya.

Jumlah pemilih bagi kerusi Parlimen Sibuti pada Pilihan Raya Umum 2008 adalah seramai 22,143 orang dan sejak itu, jumlah pemilih baharu yang berdaftar di kerusi terbabit terus bertambah.

“Ia adalah hasil kesedaran orang ramai tentang hak mereka sebagai pemilih dan kami berharap jumlah ini akan terus meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, menerusi kesinambungan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial, beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan kekal mentadbir rakyat untuk jangka masa yang panjang.

“Saya yakin menerusi sentuhan emas kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat akan terus memberi mandat dan kepercayaan kepada BN pada PRU13,” katanya.

Ahmad Lai juga menaruh keyakinan akan menang sekali lagi dengan majoriti yang lebih besar berikutan sokongan tidak berbelah bahagi penduduk Sibuti kepadanya selama ini.

“Saya telah turun padang lebih satu penggal dan rakyat Sibuti sudah mengenali saya dan mereka dapat menilai apa yang dilakukan saya sebagai wakil rakyat kepada peningkatan taraf hidup mereka,” katanya.

Pada PRU 2008, Ahmad Lai (BN) menang dengan majoriti 3,648 undi selepas meraih undi keseluruhan 8,238 menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi Michael Teo Yu Keng yang hanya meraih 4,590 undi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan