Rabu, 25 Julai 2012

Gagal Berkelahi Besar - Besaran

Kesemua 93 samseng yang diberkas kerana merancang untuk bergaduh ditahan reman 

GEORGE TOWN - Perancangan dua kumpulan gengster Geng 04 dan Geng 24 untuk bergaduh secara besar-besaran ekoran dendam kesumat yang terbuku di hati masing-masing gagal apabila seramai 93 ahli termasuk ketuanya diberkas di pusat hiburan sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini kelmarin.

Gengster-gengster itu diberkas pukul 12.30 tengah malam selepas polis menyerbu sebuah bilik karaoke di tingkat dua hotel berkenaan yang dijadikan tempat ketua kedua-dua kumpulan tersebut bermesyuarat bagi merancang perkelahian itu.

Daripada jumlah itu, seramai 23 merupakan ahli Geng 04 dan 70 anggota Geng 24. Mereka diberkas oleh pasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Ibu Pejabat Kontijen Polis Pulau Pinang, Deputi Superintenden Zailanni Amit. Mereka berusia 16 hingga 42 tahun dengan 20 orang positif dadah.

Geng 04 banyak terlibat dalam jenayah peras ugut pemaju perumahan di kawasan Timur Laut dan Barat Daya dengan meminta wang perlindungan. Kumpulan tersebut akan membuat kacau sehingga kehendak mereka dituruti.

Samseng Geng 24 pula akan menggunakan kekerasan untuk memaksa atau mempengaruhi para peniaga di kawasan Timur Laut supaya berurusan dengan mereka. Mereka juga kerap membuat kacau di pusat hiburan dengan datang beramai-ramai tanpa memesan minuman.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan