Rabu, 25 Julai 2012

Kibarkan Jalur Gemilang, Pamer Rasa Cinta Kepada Malaysia

Kibarkan jalur gemilang

KUCHING: Tanggal 31 Ogos adalah hari keramat yang harus sentiasa diingati oleh setiap lapisan masyarakat kerana pada tarikh itulah lahirnya sebuah negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tarikh itu juga adalah masa paling sesuai untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, budaya, keturunan, budaya dan ideologi untuk mempamerkan rasa cinta kepada Malaysia.

“Cinta ini seharusnya datang secara sukarela tanpa paksaan, tiada yang lebih berharga selain menikmati kemerdekaan dalam suasana yang aman tanpa kacau bilau. Jalur Gemilang adalah ciri penting mengekalkan kemerdekaan dan perpaduan, ia melambangkan semangat kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme. Ia juga menunjukkan rakyat di negara ini bergerak selari dan searah untuk mencapai wawasan yang sama iaitu kegemilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat kempen mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan ke-55 di Brickfields, Kuala Lumpur yang serentak dilancarkan di seluruh negara pada minggu lalu. Amanatnya disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, Jalur Gemilang menjadi tenaga perpaduan rakyat yang berbilang kaum untuk mencapai satu matlamat yang sama bagi merealisasikan 1Malaysia yang sebenar.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya berbangga mengibarkan bendera kebangsaan kerana ia lambang kemegahan dan kedaulatan dalam pembinaan sebuah negara bangsa mencapai kesatuan dan memperkukuhkan semangat nasionalisme serta perpaduan.

“Kibarkanlah bendera ini di setiap premis, gedung perniagaan, rumah dan kenderaan demi menunjukkan rasa cinta pada negara.

“Kemerdekaan sebenarnya menunjukkan negara kita bebas daripada cengkaman penjajah tanpa pertumpahan darah, mampu memerintah dan mentadbir negara dengan cara dan acuan sendiri berdasarkan Rukun Negara dan Raja Berpelembagaan,” jelasnya.

Beliau menyeru kepada semua rakyat agar memelihara dan melindungi keamanan kesejahteraan yang ada dengan kesatuan, persefahaman serta tolak ansur yang jitu.

“Jangan biarkan anasir tidak sihat dan fahaman ekstremis membelenggu pemikiran dan tingkah laku sehingga membawa kehancuran kepada kesejahteraan yang sedang dinikmati ketika ini,” katanya pada Majlis Sambutan Kemerdekaan peringkat Kuching minggu lepas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan