Mohd. Saad menunjukkan kad pengenalan Mahmood
ALOR SETAR – Seorang warga emas berusia 82 tahun dari Kampung Tanjung Inggeris, Langgar di sini tidak dapat tidur lena kerana memikirkan keadaan anak bongsunya yang menghilangkan diri sejak 17 hari lalu.
Intan Baharom yang sakit tua bimbang dengan keselamatan dan kesihatan Mahmood Hashim, 50, berikutan keadaannya yang terencat akal sejak kecil.
Menurut Intan, dia amat merindukan anak lelakinya itu yang menghilangkan diri sejak keluar dari rumah pada pukul 6 pagi, 6 Julai lalu.
“Setiap masa saya teringatkan dia, lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Sementara itu, abang Mahmood, Mohd. Saad, 60, memberitahu, adiknya itu pernah menghilangkan diri selama hampir lima bulan empat tahun lalu tetapi pulang ke rumah dengan selamat.
“Semasa hilang kali pertama, ada seorang saudara menemuinya di Johor tetapi Mahmood melarikan diri sebaik diberitahu hendak dibawa ke balai polis tetapi Alhamdulillah, akhirnya dia pulang dengan sendiri,” ujarnya sambil memberitahu Mahmood tidak tahu membaca selain pertuturannya yang sukar difahami.
Kata Mohd. Saad lagi, baru-baru ini dia ada mendapat maklumat daripada seorang penduduk kampung yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Shah Alam mengatakan ternampak Mahmood di sana.
“Saya pun tidak tahu betul ke tidak tetapi saya rayu orang ramai yang ternampak Mahmood agar menghantarnya ke balai polis berdekatan,” jelasnya.
Katanya, dia membuat laporan polis kehilangan Mahmood di balai polis Langgar pada 17 Julai lalu.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Mahmood diminta menghubungi Mohd. Saad di talian 04-787 8102 atau 019-435 9607.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan