Isnin, 4 Mac 2013

Pendera Kanak - Kanak Ditahan

Gambar Hiasan

KUCHING: Polis menahan dua anak beranak dari Taman Landeh yang disyaki terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Kedua-dua suspek yang merupakan bapa dan abang kepada mangsa, masing-masing ditangkap di rumah dan di sebuah kilang di Jalan Kuching-Serian Batu 11, petang kelmarin.

Insiden dera itu disedari oleh guru kepada mangsa kira-kira jam 9 pagi Jumaat setelah mendapati kanak-kanak itu bersembunyi di belakang bilik kelas.

Apabila ditanya, mangsa didapati telah dipukul oleh abangnya dengan menggunakan kayu sehingga mengalami calar di bahagian tangan kiri.

Mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik turut memaklumkan, dirinya sering dipukul oleh bapa dan abang tanpa sebab dengan menggunakan kayu dan tali pinggang.

Selain itu, mangsa yang pernah ponteng sekolah selama 25 hari kerana sakit perut akibat disepak turut menyatakan selalu tidak diberi makan kerana dihabiskan oleh kedua-dua suspek.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi berkata, abang mangsa juga terlibat dengan dadah dan menghidu gam.

“Gambar kecederaan mangsa telah diambil, ada kesan luka lama dan ada kesan yang tidak nampak. Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan Jabatan Kebajikan juga telah dihubungi,” katanya. Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak sedang dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan