Isnin, 11 Mac 2013

Rumah Pengganas Akan Diroboh

Sebuah rumah di Kampung Simunul, Semporna yang tidak diketahui siapa pemiliknya

SEMPORNA - Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Simunul akan merobohkan sembilan buah rumah termasuk tiga daripada rumah yang dijadikan tempat pengganas Sulu melakukan serangan hendap hingga menyebabkan enam anggota polis maut pada 2 Mac lalu.

Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman berkata, tindakan merobohkan rumah itu bagaimanapun hanya akan dilakukan sebaik mendapat laporan daripada pihak polis mengenai maklumat yang mendakwa pemilik ketiga-tiga buah rumah tersebut dipercayai bersekongkol dengan pengganas.

"Saya, JKKK dan penduduk kampung telah membuat perbincangan serta bersepakat akan merobohkan tiga rumah yang menjadi lokasi pengganas bersembunyi.

"Enam buah rumah lagi yang tidak diketahui siapa penghuninya dan terletak berhampiran kawasan serangan hendap itu juga dalam rancangan untuk dirobohkan," kata Ramlee di sini semalam.

Difahamkan, sehingga semalam tiada penghuni di sembilan buah rumah tersebut dapat dihubungi oleh pihak berkuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan