Selasa, 12 Mac 2013

Pemuda Didakwa Atas Kesalahan Guna Dadah

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang pemuda didenda RM1,700 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan selama tempoh dua tahun mulai tarikh jatuh hukuman.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah tertuduh, Richard Teo Kah Soon mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah seksyen yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah itu ke tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang, 12 November 2012 di Balai Polis Pusat Miri di sini.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili merayu hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Mary Ong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan