Isnin, 4 Mac 2013

Singkap Kembali Sejarah Silam

Dennis Ngau Jok

MIRI: Penduduk Baram harus menyingkap kembali sejarah silam ketika kawasan itu diambil alih oleh pembangkang suatu ketika dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dennis Ngau Jok berkata pihak berkenaan ternyata tidak mampu membawa sebarang perubahan di kawasan itu sepanjang tempoh tersebut.

“Apa yang pembangkang bawa ketika mereka menawan Parlimen Baram pada suatu ketika dahulu? Ternyata tiada apa-apa,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, ternyata tiada sekelumit pun perubahan dapat dibawa oleh pihak berkenaan dalam pelbagai aspek terutama pembangunan yang memberikan manfaat kepada rakyat sendiri.

Berbanding ketika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali Baram, ia sesuatu yang berbeza terutama daripada aspek pembangunan.

“Kerajaan BN yang membawa banyak perubahan ke kawasan Baram, merangkumi semua aspek yang dapat difikirkan,” jelasnya.

Oleh itu, Dennis memberitahu sudah tentu rakyat terus mengidam perubahan seperti yang dirancang dan dilaksanakan oleh BN serta menolak pembangkang.

“Kini kita (BN) mempunyai rancangan baharu iaitu Bandar Baharu Telang Usan yang sememangnya untuk kesejahteraan rakyat di kawasan Baram,” katanya.

Rancangan bandar baharu hasil idea Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah salah satu daripada pelbagai rancangan yang menitikberatkan kehendak dan keperluan rakyat terutama di kawasan pedalaman.

Sedia maklum tentang keadaan demografi Baram yang terletak di kawasan pedalaman dan mempunyai taburan penduduk berselerak, kewujudan bandar baharu berkenaan adalah formula terbaik bagi pemusatan pembangunan kawasan itu.

Pada masa sama, beliau menasihati penduduk Baram agar terus memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) demi kecerahan harapan serta masa depan rakyat dan kawasan berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan