Isnin, 4 Mac 2013

Pertahan Keselamatan Negara Tanggungjawab Rakyat

Datuk Lee Kim Shin

MIRI: Tugas mempertahan keselamatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat, kata Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.

Lee berkata, kerjasama rakyat untuk bersama-sama menjaga keselamatan mereka khasnya kawasan kediaman antara cara mewujudkan suasana hidup yang aman dan damai.

“Anggota tentera dan anggota keselamatan yang lain tidak dapat berada di semua tempat. Jadi kita sebagai rakyat di negara ini harus memainkan peranan kita sekiranya kita berdepan dengan anasir-anasir yang boleh menggugat keselamatan negara kita,” katanya mengulas pertempuran menentang kumpulan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu ketika ditemui selepas merasmikan Tarian Kemanusiaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Miri, petang semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan memberitahu, antara peranan rakyat ialah dengan membendung penularan gejala-gejala mencurigakan oleh individu atau kumpulan yang tidak dikenali di kawasan kediaman mereka.

Beliau menambah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan pasukan keselamatan yang penting di peringkat akar umbi.

“Rakyat harus memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mereka curiga tentang aktiviti segolongan individu di kawasan mereka kerana dengan cara ini kita dapat membendung penularan gejala tidak diingini,” jelasnya.

Menurut Lee, tahap keselamatan di peringkat akar umbi yang tinggi akan meningkatkan keyakinan anggota keselamatan untuk mengelak pencerobohan di sempadan negara yang begitu luas dan panjang.

“Keselamatan negara adalah perkara yang harus dititiberatkan oleh semua di mana semua kita bertanggungjawab mempertahankannya,” tegasnya.

Tentang pertempuran di Lahad Datu, Lee berharap penyelesaian secara aman dapat disegerakan daripada terus mengganggu gugat keamanan negara.

“Saya berharap kumpulan penceroboh akan kembali ke tempat asal mereka dan berharap tiada lagi kehilangan nyawa berlaku daripada pertempuran ini,” katanya.

Lee berharap ahli-ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu akan tabah menempuhi hidup mereka tanpa orang yang tersayang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan