Isnin, 11 Mac 2013

Wartawan Tempuh Pengalaman Mendebarkan

Gambar Hiasan

LAHAD DATU: Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, FELDA Sahabat dekat sini semalam.

Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu “dipaksa” berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.

Kejadian pada kira-kira jam 10 pagi itu melibatkan wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), jurugambar The Star, New Straits Times serta jurukamera dan pemberita Bernama TV dan Al-Hijrah.

Mengimbas kembali, wartawan Bernama Mohd Hisham Abdul Rafar berkata pada mulanya beliau bersama rakan media mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.

Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah-olah “kampung berhantu” kerana rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang ternakan berkeliaran.

“Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung. Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari sesuatu.

“Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu,” katanya.

Menyedari keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi itu bersama rakan media lain.

Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting apabila beliau yang ketika itu telah berada di dalam kenderaan terlihat susuk seorang lelaki berpakaian serba hitam yang memegang senjata berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan