Ahad, 30 September 2012

Lapan Suspek Kes Bunuh Edwin Dihadapkan Ke Mahkamah


LAWAS: Lapan suspek utama kes pembunuhan kejam, Edwin Singa, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lawas semalam bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Kes tersebut dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Majistret di sini untuk kali pertama sebelum kesemua mereka dihantar ke Penjara Pusat Limbang sekitar jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Fauzilan Abdul Aziz berkata, polis membebaskan seorang lagi suspek selepas hasil siasatan mendapati beliau ti-dak terlibat dalam pembunuhan tersebut.

“Bagaimanapun, pihak polis masih memburu saki-baki suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Edwin Singa, 21 September lepas di bandar Lawas,” kata-nya pada sidang akhbar di sini, semalam. Turut hadir Ketua Keten-teraman Awam Polis Diraja Malaysia Lawas, Cif Inspektor Liong Tindan.

Faulizan memberitahu, pertuduhan dibacakan terhadap kesemua suspek yang terdiri daripada individu dari beberapa kampung berlainan serta melibatkan kaum dan agama berbeza di daerah ini.

“Kita telah menjalankan siasatan ke atas semua suspek yang datang dari kampung, agama dan kaum berlainan dan bukannya hanya melibatkan satu kaum dan agama sahaja seperti yang disebarkan dalam banyak media sosial atas tujuan tidak baik,” tegasnya.

Beliau berkata, polis akan terus melakukan pemantauan terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba menyebarkan fitnah, khabar angin dan seumpamanya melalui te-lefon, cerita mulut dan laman sosial seperti Facebook atau blog di bawah Seksyen 505 yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya lagi, selain polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut meluluskan bantuan seramai 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) bagi tujuan meronda di sekitar kampung dan bandar Lawas untuk bersama-sama membantu polis membanteras kegiatan jenayah.

“Kita juga akan terus me-ningkatkan kadar rondaan dan kehadiran polis di tempat-tempat awam di Lawas untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keadaan sebenar tentang daerah ini yang kembali aman dan tenang se-perti biasa,” ujar beliau.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pegawai dan anggota polis daerah Lawas dan Limbang dari semua unit dan jabatan kerana memberikan kerjasama tanpa mengira siang dan malam untuk menyelesaikan kes itu dalam tempoh lapan hari sahaja.

“Ini juga jelas menunjukkan Polis Diraja Malaysia serius dalam usaha membanteras dan memerangi jenayah di semua tempat khususnya di daerah Lawas,” tambahnya.

Katanya lagi, polis juga memohon kerjasama pemimpin masyarakat dan ketua-ketua agama untuk sama-sama menenangkan keadaan, malah membantu pihak sekolah untuk memberi penerangan kepada golongan pelajar jika khidmat mereka diperlukan.

“Kita mempunyai Pegawai Perhubungan di setiap sekolah yang diarah untuk turun ke sekolah jagaan masing-masing memberi penjelasan,” jelasnya.

Pada malam Jumaat lepas, Edwin dibunuh kejam dalam satu insiden pergaduhan di bandar ini.

Dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu, mangsa ditemui mati selepas dipercayai dipukul dengan objek keras di kepalanya serta ditikam dengan pemutar skru sehingga menembusi salah satu lubang telinganya.

Siasatan awal polis mendapati mangsa diserang oleh lebih daripada seorang suspek di hadapan sebuah kafe siber di bandar ini.

Polis juga mengesahkan mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan kecemasan dalam pergaduhan yang dipercayai bermotifkan dendam.

Ekoran itu, satu perhimpunan melibatkan masyarakat setempat diadakan untuk menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Polis Daerah Lawas bagi memastikan penjenayah dihukum dengan hukuman setimpal dan mengembalikan keadaan aman di Lawas.

Ia termasuk menguatkuasakan undang-undang ke atas pengusaha premis perjudian, permainan kafe siber dan aktiviti membabitkan penyalahgunaan dadah.


Budak 13 Bulan Mati Digilis Kereta

Tempat Auni Iylia Aifa (gambar kiri) digilis kereta di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang

KUALA NERANG - Sebuah keluarga di Felda Lubuk Merbau dekat sini diselubungi insiden menyayat hati apabila anak mereka berusia 13 bulan maut akibat digilis kereta yang dipandu bapa sendiri petang kelmarin.

Kejadian malang kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika Muhammad Uzair Zul, 22, memandu kereta Proton Persona miliknya selepas mengisi petrol di stesen minyak yang terletak bersebelahan rumahnya

Ketika menggerakkan kereta tersebut, Muhammad Uzair tidak menyedari Auni Iylia Aifa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik bermain di sebelah kanan kenderaan yang dipandunya.

Menurutnya, dia langsung tidak menyedari Auni Iylia berada di situ kerana ketika memasuki kawasan stesen minyak tersebut anaknya bermain bersama sepupunya di kedai membaiki motosikal bersebelahan rumahnya.

"Saya hanya sedar apabila terdengar sesuatu seperti terlanggar anak kucing. Apabila menjenguk kepala menerusi tingkap saya terkejut Auni Iylia berada di bawah kereta.

"Saya mengucap panjang melihat anak saya itu sudah tidak bermaya, saya berasa sebak dan sayu namun menerima kejadian itu sebagai takdir Tuhan," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Tambahnya, isterinya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah bergegas keluar selepas menyedari kejadian itu sebelum mendukung anaknya itu menuju ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.


Penerbit Filem Hina Nabi Muhammad SAW Tukar Nama

Nakoula kini dikenali sebagai Youssef

LOS ANGELES - Pihak pendakwa raya persekutuan di sini menyatakan, penerbit filemInnocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula kini menggunakan nama lain yang diiktiraf undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Penolong Peguam Negara AS, Robert Dugdale kelmarin berkata, Nakoula, 55, kini dikenali sebagai Mark Basseley Youssef. Nama itu terdapat dalam rekod mahkamah.

Beberapa dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Daerah Orange menunjukkan dia diberikan hak menukar nama pada 2002.

Nama penerbit tersebut ditukar kepada Youssef kerana Nakoula ialah nama seorang perempuan dan ia mencetuskan masalah kepadanya.

Youssef dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini pada Khamis lalu selepas pihak berkuasa menyatakan dia melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Lelaki itu dibebaskan pada Jun 2011 setelah menjalani hukuman penjara selama 21 bulan kerana didapati bersalah menipu bank pada 2010.

Pendakwa raya Robert Dugdale berkata, dia dituduh melakukan lapan kesalahan termasuk membuat kenyataan palsu kepada para pegawai perunding cara dan menggunakan tiga nama yang berlainan.

Hakim Suzanne Segal turut memutuskan lelaki tersebut ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin kerana bimbang dia akan melarikan diri selain dianggap berbahaya kepada masyarakat.

Dia ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di sini.

Youssef yang merupakan penganut Kristian Koptik akan ditahan sehingga seorang hakim memutuskan sama ada dia melanggar syarat-syarat pembebasannya. Dia yang berketurunan Mesir kini merupakan warga AS.

Youssef menyembunyikan diri pada 15 September lalu sebelum ditangkap pada Khamis lalu. Filem yang menghina Nabi Muhammad SAW itu telah menyebabkan tunjuk perasaan ganas berlaku di beberapa buah negara sehingga mengakibatkan 50 orang mati baru-baru ini. - Agensi


Polis Tahan Empat Lelaki Culik Anak Doktor


ALOR SETAR - Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat menculik anak seorang doktor pakar kulit berusia 13 tahun dengan menuntut wang tebusan RM500,000 di sini Selasa lalu.

Kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang warga negara Myanmar itu ditahan dalam serbuan berasingan Khamis lalu dan awal pagi semalam.

Suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Kuala Kedah di sini malam Khamis lalu manakala tiga lagi rakannya dicekup di sebuah kuil yang dalam pembinaan di Taman Sutera, Sungai Petani pukul 2 pagi semalam.

Dalam serbuan di Taman Sutera, salah seorang suspek dikatakan cuba menyorok di dalam kuil itu selama hampir dua jam sebelum polis memberkasnya dengan kerjasama anggota bomba.

Menurut sumber, kanak-kanak lelaki itu diculik ketika pulang dari kelas tuisyen di sini kira-kira pukul 10 malam Selasa lalu.


Psy Dalam Rekod Guinness

Psy

PENYANYI Korea Selatan yang mencipta fenomena seluruh dunia dengan pantas menerusi lagunya yang berjudul Gangnam Stye, Psy kini tersenarai dalam Buku Rekod Dunia Guinness.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Guinness, klip video Psy didapati memperoleh status 'like' paling banyak atau disukai oleh penonton dalam sejarah laman sosial YouTube.

Ketika mendapat pengiktirafan baru-baru ini, klip video Psy mendapat sebanyak 2,141,758 like sehingga minggu lalu. Klip yang memaparkan tarian kuda itu mula dimuat naik sejak 15 Julai lepas.

Selain Gangnam Style, klip video milik kumpulan LMFAO iaitu Party Rock Anthem mendapat 1,574,963 like, Baby yang dinyanyikan oleh Justin Bieber (1,327,147 like) dan Rolling in The Deep oleh Adele (1,245,641 like) sehingga minggu lepas.

Pengurus Komunikasi Guinness, Dan Barrett menjelaskan bahawa kejayaan yang diraih Psy itu merupakan satu fenomena luar biasa dunia hiburan.

"Seperti tidak masuk akal apabila dia berjaya meraih penonton yang begitu ramai. Dalam tempoh tiga bulan dia meraih lebih dua juta like di YouTube," katanya seperti dipetik soompi.com.


Panahan Asmara Darling Betong

Pelacur menunggu pelanggan dari Malaysia di Betong, Thailand

BETONG (Selatan Thailand) - Sekali pandang, pemandu teksi, Awan Taib sudah tahu niat rakyat Malaysia yang mahu menggunakan perkhidmatannya ketika berada di Betong, pekan paling selatan di Thailand dan hanya lima minit perjalanan dari sempadan Malaysia di Pengkalan Hulu, Perak.

Selepas lima tahun memandu teksi dan membawa ratusan penumpang pelbagai kaum dari Malaysia di pekan itu, Awan, 45, sudah hampir pasti niat mereka cuma satu iaitu mencari darling, gelaran untuk pelacur di Betong.

“Lelaki Malaysia yang datang ke Betong sama ada seorang atau ramai memang mencari pelacur. Kami sudah tahu dari saat mereka melambaikan tangan untuk menahan teksi,” kata Awan yang berada di pekan tersebut untuk meninjau kegiatan seks di kawasan itu.

Betong menjadi tumpuan rakyat Malaysia bukan sahaja kerana lokasinya berdekatan sempadan negara tetapi juga ia lebih aman berbanding Hatyai dan Golok yang kerap menjadi sasaran serangan puak pemisah Islam.

Nikmat keamanan itulah punca rezeki kepada ramai warga Betong termasuk Awan yang hampir tidak menang tangan melayan penumpang khususnya pada cuti umum dan hujung minggu.

Tugas Awan cukup mudah, dia hanya perlu membawa penumpang meronda di beberapa buah lorong yang menjadi pusat pelacuran di tengah-tengah pekan tersebut.


Pelesit Rempit Menyorok Di Surau Diminta Berdoa

Membaca doa di Jalan Tok Adis, Kuala Terengganu semalam

KUALA TERENGGANU - Gara-gara ditangkap bersembunyi di dalam sebuah surau selepas cuba mengelak sekatan jalan raya, enam remaja berusia antara 18 hingga 21 tahun terpaksa akur dengan arahan pihak polis.

Mereka telah diminta membaca bacaan di dalam solat termasuk doa qunut di tepi Jalan Tok Adis, Kuala Ibai dekat sini kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Walaupun malu kerana insiden itu dilihat oleh orang ramai, mereka terpaksa mematuhinya selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.


Pesawat Terhempas Di Bandung

Pesawat ringan 202 Bravo yang terhempas

JAKARTA - Sebuah pesawat ringan 202 Bravo yang sedang mengadakan pertunjukan aerobatik di Bandung Air Show 2012 di Pangkalan Udara Husein Sastranegara, Bandung terhempas semalam mengakibatkan juruterbang dan pembantu juruterbangnya maut.

Pesawat itu jatuh di kawasan bangunan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU). Mangsa yang terbunuh merupakan bekas pegawai TNI-AU.

Jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.42 pagi, lima minit selepas pesawat itu berlepas untuk persembahan aerobatik.

Berikutan kejadian itu, pihak penganjur telah membatalkan acara pertunjukan udara seterusnya sebagai tanda berkabung.

Bandung Air Show 2012, satu daripada acara sambutan ulang tahun ke-202 Kota Bandung yang memasuki hari ketiga semalam diteruskan hanya dengan acara pameran.

Sejumlah 28 pesawat termasuk dari beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan Australia mengambil bahagian pada pertunjukan udara yang dijadual berlangsung selama empat hari mulai 27 September lalu. - Bernama


Sabtu, 29 September 2012

Kareena Kapoor - Angelina Jolie Versi Bollywood

Kareena Kapoor


PASANGAN kekasih terhangat Bollywood saat ini, aktres Kareena Kapoor dan aktor Saif Ali Khan kini meraih label Brangelina versi Bollywood.

Brangelina merujuk kepada pasangan pelakon tersohor Hollywood, Brad Pitt dan Angelina Jolie yang sudah bercinta dan bersekedudukan tanpa sebarang ikatan pernikahan selama tujuh tahun. Kareena dan Saif pula melakukan perkara yang sama sejak lima tahun yang lalu.

Tiada langsung perasaan malu dalam diri Kareena dilabelkan setaraf pasangan Brad-Angelina atau lebih tepat dirinya kini diumpamakan sebagai Angelina Jolie versi Bollywood, khususnya daripada segi bersekedudukan tanpa nikah dengan kekasih hati. Kareena sebaliknya bersikap terbuka mengenai perkara tersebut.

Ia ekoran gosip tersebar sejak beberapa bulan lalu mengatakan dia dan Saif bakal berkahwin sekitar bulan Oktober ini.

Malah tarikh perkahwinan mereka iaitu pada 18 Oktober ini sudah didedahkan kepada media baru-baru ini oleh ibu Saif sendiri iaitu aktres veteran legenda Sharmila Tagore.

Namun khabarnya pula, tarikh itu ditunda ekoran Saif dikatakan sibuk dengan projek filem terbaharu lakonannya, Go Goa Gone.

Laporan-laporan akhbar di India sebelum ini juga telah mendedahkan bahawa Saif sudah menghantar beberapa dokumen undang-undang di pejabat pendaftaran Bandra, Mumbai, India pada 12 September lepas bagi membolehkan dia mengahwini Kareena.

Mengikut undang-undang di India, bagi pasangan yang ingin berkahwin mereka perlu menghantar borang berkaitan sekurang-kurangnya sebulan awal bagi mendapatkan kebenaran perkahwinan.

Justeru, Kareena dan Saif dijangka akan berkahwin selepas 12 Oktober nanti.


Namun, kedua-dua Kareena dan Saif sehingga kini masih mengunci mulut mengenai tarikh sebenar perkahwinan mereka. Kareena terutamanya, seumpama bermain teka-teki tentang perkara itu.

Ini kerana ketika ditemui wartawan di India dan ditanya mengenai tarikh sebenar perkahwinan itu baru-baru ini, Kareena secara sinis menegaskan bahawa dia sudah lama 'berkahwin' dengan Saif.

"Sudah lima tahun saya dan Saif tinggal bersama. Kami beli rumah dan menghias rumah itu bersama-sama. Saya juga sudah jumpa keluarganya dan semua orang tahu mengenai hal ini," ujarnya.

Jelasnya lagi, perkahwinan mereka cuma masih belum ada pengesahan di atas kertas dan mereka akan melakukannya tidak lama lagi.


"Ertinya saya sudah berkahwin dengan Saif dan menjadi Puan Saif Ali Khan bukan suatu perkara baharu buat saya," ujar Kareena yang baru-baru ini turut menerima ucapan tahniah daripada pasangan Brangelina berhubung perkahwinan mereka itu.

Tambah Kareena, dia langsung tidak mempunyai masalah dengan anak-anak Saif daripada perkahwinannya terdahulu.

Hasil perkahwinan Saif bersama aktres Amrita Singh sebelum ini memperoleh dua anak iaitu Ibrahim dan Sarah.

Katanya: "Saya menyayangi kedua-dua Ibrahim dan Sarah seperti mana mereka menyayangi saya. Ibrahim dan Sarah juga hormati saya. Mereka sedang membesar dan Sarah kelihatan sangat cantik."


Isu tarikh perkahwinan Kareena dan Saif sebenarnya telah bertiup kencang sejak tahun lepas lagi, apabila pasangan itu dikatakan akan berkahwin pada bulan Februari atau Mac tahun tersebut.

Namun, mereka telah menundanya kerana ingin memberi tumpuan kepada penggambaran filem, Agent Vinod yang melibatkan mereka sebagai pelakon utama.

Sekarang ini timbul tarikh baharu pula. Kareena dan Saif dikatakan akan berkahwin pada 16 Oktober ini, tetapi Kareena pantas menafikan perkara berkenaan dengan berkata: "Sejak tahun 2009 sehingga kini, ramai pihak membuat spekulasi sendiri mengenai tarikh perkahwinan kami."

"Jangan risau, jika kami benar-benar berkahwin, sudah pasti kami akan mengumumkannya kepada media dan peminat semua," kata Kareena.

Walaupun sering diasak dengan pelbagai khabar angin mengenai tarikh perkahwinannya, Kareena tetap memberi tumpuan utama terhadap kariernya.

"Saya perlu bersikap profesional dan tidak mudah melatah. Industri hiburan pastinya mengundang pelbagai gosip dan anda perlu bijak menanganinya," ujar Kareena.

Dalam perkembangan sama, setelah berkahwin nanti, Kareena dikatakan akan menukar namanya menjadi KKK atau Kareena Kapoor Khan.


"Saif tidak mahu saya mengubah apa-apa selepas berkahwin nanti termasuklah nama saya, tetapi saya tetap akan menggunakan nama Kareena Kapoor Khan," ujarnya.

"Ia cukup bermakna buat saya kerana mempunyai dua nama keluarga hebat dalam industri perfileman Bollywood," katanya seperti dilaporkan Times of India.

Ketika ditanya mengenai agama anutannya selepas berkahwin dengan lelaki Muslim itu, Kareena yang beragama Hindu menjawab dalam nada tegas: "Itu satu soalan yang salah. Saya tidak akan menjawabnya. Sebelum ini media melaporkan bahawa Saif tidak akan memaksa bakal isterinya untuk menukar agama asalnya."

Mengenai karier lakonannya pula, selepas muncul dengan filem pecah panggung terbaharunya, Heroine, Kareena dikatakan menjadi pilihan penerbit tersohor di Bollywood, Sanjay Leela Bhansali untuk watak utama filem berjudul, Ram Leela.


Namun menurut laporan Times of India bertarikh 26 September lepas, Kareena tidak akan membintangi filem itu kerana dia dikatakan gagal memenuhi klausa kontrak lakonan untuk produksi filem di Bollywood.

Sumber memberitahu akhbar berkenaan: "Dalam klausa kontrak perfileman di Bollywood mensyaratkan pelakon wanita terutama bagi watak utama tidak boleh hamil sepanjang penggambaran sesuatu filem."

"Justeru, adakah ini bermakna Kareena sudah hamil dan menjadi faktor kenapa dia tidak jadi membintangi filem terbaharu terbitan Sanjay Leela Bhansali, Ram Leela?

"Ini kerana soal angka bayaran lakonan sebelum ini tidak pernah menjadi penghalang kolaborasi antara Kareena dan Sanjay."


19 Maut Pesawat Terbakar Dan Terhempas

Terbakar selepas terhempas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu semalam

KATHMANDU - Seramai 19 orang maut apabila pesawat yang mereka naiki terhempas selepas dua minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di sini semalam.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Nepal, juruterbang pesawat tersebut melaporkan, pesawat itu berlanggar dengan seekor burung beberapa saat sebelum nahas itu berlaku.

Beberapa saksi memberitahu, mereka menyaksikan salah satu sayap pesawat itu terbakar, manakala beberapa penumpang menjerit sebelum ia terhempas kurang satu kilometer dari lapangan terbang tersebut.

Warga asing yang terbunuh itu ialah tujuh rakyat Britain dan lima pelancong China. Baki mangsa yang terbunuh ialah warga Nepal termasuk tiga kru penerbangan.

Pesawat itu terhempas ketika menuju ke bandar Lukla yang dikenali sebagai pintu masuk ke Gunung Everest. - Agensi


Rebat RM200 Beli Telefon Pintar 3G


Pendapatan bawah RM3,000 sebulan dapat membeli set telefon pintar dengan harga lebih murah

KUALA LUMPUR - Seramai 1.5 juta belia di negara ini akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara sekali bayar bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakej khas itu yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi terbuka kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

"Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pelaksanaan rebat ini," jelas beliau ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat semalam.


Saintis Temui Bukti Terdapat Aliran Air Di Marikh

Batu-batu yang dipercayai pernah dihanyutkan air deras di planet Marikh

WASHINGTON - Kenderaan robotik Curiosity menemui batu-batu yang pernah dihanyutkan air di planet Marikh, jelas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.

Penemuan itu menunjukkan mungkin terdapat aliran air yang deras dan setinggi paras pinggang di planet tersebut.

"Kami teruja mengenai perkara ini," kata Ketua Saintis Institut Teknologi California, John Grotzinger.

Gambar-gambar batu itu dihantar kenderaan tersebut untuk dikaji oleh saintis-saintis NASA. Kenderaan robotik itu mendarat di Kawah Gale di Marikh pada 6 Ogos lalu. - Agensi


Bomoh Penipu Di Penjara 45 Tahun

Omar diiringi polis ketika berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU – Seorang pengamal perubatan tradisional dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 15 pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias menjatuhkan hukuman itu selepas Omar Mohamad, 38, mengaku bersalah atas dakwaan penipuan kononnya boleh mengganda wang, mengelak wang daripada disedut makhluk halus dan membersih barang kemas daripada saka.

Omar didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang kemas bernilai RM20,000 dengan memajak harta tersebut untuk kegunaan sendiri. Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun, sebat dan denda.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi 14 tuduhan lain kerana menipu boleh menggandakan wang, mengelak wang simpanan disedut mahkluk halus dan membersihkan wang daripada saka. Dia boleh dihukum penjara 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.


Hakim Arah Nakoula Ditahan


LOS ANGELES - Seorang lelaki yang dipercayai penerbit dan pengarah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims, ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin kelmarin.

Nakoula, 55, yang berketurunan Mesir dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini selepas ditangkap kerana melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Dia dihukum penjara 21 bulan dan dibebaskan pada Jun 2011 setelah didapati bersalah menipu bank pada 2010.

Pendakwa raya Robert Dugdale berkata, Nakoula dituduh melakukan lapan kesalahan termasuk membuat kenyataan palsu kepada para pegawai perunding cara dan menggunakan tiga nama berlainan.

Hakim Suzanne Segal memutuskan Nakoula ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin kerana bimbang dia akan melarikan diri selain dianggap berbahaya kepada masyarakat.

Dia ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di sini dan mungkin dipenjarakan selama dua tahun jika dia didapati bersalah melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Nakoula yang merupakan penganut Kristian Koptik bersembunyi sejak dua minggu lalu selepas peranannya dalam pembikinan filem tersebut dibongkar.

Penduduk Islam di serata dunia menyertai tunjuk perasaan bagi membantah penyiaran filem itu selepas ia disebarkan di laman YouTube baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, seorang pelakon filem itu, Cindy Lee Garcia memfailkan saman di sebuah mahkamah persekutuan di Santa Clarita, California terhadap pembikin filem berkenaan dan syarikat Google Inc. yang memiliki laman YouTube.

Dia menuntut sejumlah ganti rugi dengan mengemukakan dakwaan perlanggaran hak cipta dan diperdaya supaya berlakon dalam filem tersebut. - Agensi


2.7 Juta Orang Bujang Dapat BR1M 2.0

Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua atau BRIM 2.0 akan diteruskan tahun depan dengan golongan penerimanya bukan sahaja membabitkan 4.3 juta isi rumah tetapi manfaatnya diperluaskan kepada 2.7 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas.

Golongan bujang itu akan menerima bayaran RM250 dengan syarat pendapatan mereka di bawah RM2,000 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bayaran tersebut akan dibuat awal tahun depan.

"Hasrat kerajaan memberi bantuan ini kepada isi rumah berpendapatan rendah serta golongan bujang bukan satu langkah populis tetapi manifestasi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan secara berhemah," kata beliau yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat semalam.


Coretan :- Terima kasih di ucapkan kepada PM Msia... Bajet 2013 ni best ler, boleh dapat Rm250 lah ni...hehehe....


Anggota Tentera Thai Menari Tarian Kuda

Gambar rakaman video yang menunjukkan beberapa anggota tentera laut menari tarian kuda

BANGKOK - Beberapa anggota Tentera Laut Diraja Thailand menari tarian kuda yang sebelum ini dipopularkan oleh penyanyi rap Korea Selatan, Psy dalam muzik video Gangnam Style, lapor agensi berita AP semalam.

Klip video yang menunjukkan anggota tentera itu menari tarian tersebut dimuat naik di laman YouTube pada Khamis lalu.

Seorang pegawai tentera laut, Leftenan Komander Patiroop Khemtis berkata, klip tersebut disiarkan semasa parti tahunan yang diadakan di sebuah pangkalan tentera di Pulau Phuket, selatan Thailand pada Rabu lalu.

Tarian kuda itu kini menjadi popular di kebanyakan negara termasuk di Amerika Syarikat (AS).

Video muzik Gangnam Style telah ditonton lebih 292 juta kali di YouTube sejak ia dimuat naik pada 15 Julai lalu.

Tarian tersebut juga menyebabkan Psy, 34, menjadi terkenal di AS dan dipikat menjadi artis syarikat Schoolboy Records milik Scooter Braun.

Braun merupakan pengurus penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber. - Agensi


Miliki Dadah: Lima Lelaki Besalah Dihadapkan Ke Mahkamah


MIRI: Lima lelaki termasuk seorang pesalah juvana dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pagi semalam atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine.

Tan Wei Chiang, 21, dari Paradise Park, Jalan Maigold, Lutong; Pui Jin Chieh, 37, dari Fasa 2A Tudan; juvana, 17, dari Pasar Lama Matu; Ng Kia Lung, 24, dari Taman Mabel, Kuching dan Jee Chien Hung, 23, dari Pasar Siburan, Batu 17, Jalan Kuching-Serian telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, kesemua tertuduh dan juvana terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun atau seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, keempat-empat tertuduh dan juvana terbabit sebagai seorang yang bukan diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 34.28 gram (berat kasar).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 5 petang, 21 September lalu di sebuah bilik No.7, Lot 346, Tingkat 2 Pujut Corner di sini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan tertuduh direkodkan dan mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan lanjut kes.

Manakala kesemua tertuduh dan juvana terbabit diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir sementara menunggu tarikh tersebut memandangkan mereka tidak boleh dibebaskan dengan jaminan.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Mary Ong di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.


Lelaki Cina Kerugian RM5,000 Selepas Nyawa Diancam


SIBU: Seorang lelaki berketurunan Cina kerugian hampir RM5,000 selepas nyawanya diancam seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Lee Long.’

Lee Long atau nama sebenar-nya, Wong Leh Yin merupakan seorang ahli perniagaan terkenal pernah membuat laporan polis beberapa kali bahawa namanya telah digunakan oleh sekumpulan sindiket tipu untuk menipu wang mangsa.

Menurut laporan, lelaki yang berusia 30 tahun itu memberitahu bahawa dia mula menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan namanya sebagai ‘Lee Long’ sejak beberapa bulan lalu.

Pada mulanya, pemanggil terbabit meminta mangsa untuk membayar sejumlah RM90,000 sebagai wang perlindungan.

Apabila mangsa menyatakan bahawa dia tidak mempunyai wang sebanyak itu, dia diugut oleh pemanggil terbabit dengan ancaman yang menakutkan.

Bimbang sesuatu buruk akan menimpanya, dia mula memasuk-kan RM900 ke dalam satu akaun bank seperti yang diarahkan oleh pemanggil.

Sehingga kini, mangsa telah memasukkan wang hampir RM5,000 dan dia kehabisan wang simpanan.

Menurut mangsa, pemanggil itu memberitahunya bahawa nyawanya berada di ‘hujung tanduk’ pada bila-bila masa jika dia tidak membuat bayaran lagi.

Mangsa akhirnya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu minggu lalu.

Tidak kurang daripada 10 kes tipu yang membabitkan nama Lee Long di negeri ini telah dilaporkan sehingga kini.


Wanita Jerman Diragut Lelaki Bermotosikal

Gambar Hiasan

KUCHING: Seorang wanita warga Jerman tampil membuat laporan polis mendakwa diragut ketika berjalan di sepanjang Jalan Carpenter malam kelmarin.

Mangsa, 32, seorang guru, ketika ditemui memberitahu semasa kejadian dia dalam perjalanan menuju ke tempat penginapannya sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali menggunakan sebuah motosikal sekitar jam 10 malam Khamis lepas.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tersebut telah memperlahankan motosikal yang ditunggangi mereka sebelum seorang daripada mereka terus bertindak menarik beg tangannya sebelum memecut laju dari tempat kejadian.

Beg tangan mangsa mengandungi antara lain wang tunai AS$200, sebuah kamera, telefon bimbit, iPod dan beberapa dokumen peribadi.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan ekoran kejadian tersebut.


Lelaki Didenda Selepas Mengaku Bersalah Pukul Isteri, Kakak Ipar


SIBU: Seorang lelaki didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kanowit kelmarin selepas dia mengaku bersalah memukul isteri dan kakak iparnya.

Sinin, 50, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas dakwaan secara sukarela menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman maksimum satu tahun penjara, atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Sinin dituduh memukul kakak iparnya dan telah dikenakan hukuman sebanyak RM300 dan jika gagal melunaskannya akan dihukum satu bulan penjara.

Manakala bagi kesalahan memukul isterinya pula, beliau telah didenda RM500 dan sekiranya ingkar akan dihukum tiga bulan penjara. Tetuduh telah membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, Sinin sedang dalam keadaan mabuk di rumahnya apabila kejadian itu berlaku.

Tertuduh dan adik-beradik itu telah bertengkar mengenai sesuatu hal berkaitan dengan keluarga yang kemudiannya membuatkan Sinin mengunakan kekerasan fizikal ke atas kedua-dua mangsa.

Di mahkamah yang sama, Ong Kung Chai, 40-an dari Kanowit telah didenda RM2,000 dan jika gagal melunaskannya akan dihukum enam bulan penjara selepas dia mengaku bersalah kerana memiliki 11 mercun dan bunga api yang berbeza jenis.

Ong telah membayar denda itu. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958.

Sebelumnya, tertuduh telah ditangkap melakukan kesalahan itu pada jam 1 petang di sebuah rumah kedai di Kanowit.


Pasar Sentral Kecoh Lagi, Lelaki Cedera Dipukul Suami Penjaja


SIBU: Pasar Sentral kecoh pagi semalam selepas seorang lelaki memukul kepala seorang penjaja lelaki di situ dengan sebatang kayu di khayalak ramai.

Lelaki berusia 30 tahun tersebut dipercayai bertindak demikian selepas isterinya dipukul dengan hos air di tempat yang sama sekitar jam 9 malam kelmarin.

Insiden itu dipercayai bermula apabila si isteri, 29, yang juga penjaja di situ, menolak pelawaan penjaja lelaki tersebut untuk menidurinya.

Menurut wanita itu, dia telah mengenali penjaja lelaki itu, 40-an, sebagai rakan niaga sejak bulan puasa yang lalu.

Katanya, lelaki itu sering menghantar buah-buahan ke ruang niaganya untuk dijual kerana dia tidak mempunyai lesen untuk berniaga di situ.

Mungkin ada pertelingkahan mengenai urusan niaga di antara mereka menyebabkan lelaki itu meminta bayaran ganti rugi sebanyak RM500 walaupun dinafikan oleh wanita tersebut, sambil mendakwa penjaja itu sengaja mereka cerita untuk memburukkan namanya.

Wanita tersebut turut mendedahkan bahawa penjaja lelaki itu sering memujuknya untuk bermalam bersamanya semasa menghantarnya pulang ke rumahnya di JalanTong Sang namun setiap pelawaan lelaki tersebut ditolaknya.

“Saya hanya menganggapnya (penjaja lelaki) sebagai rakan niaga sahaja tetapi kali ini dia telah menjatuhkan maruah saya dengan menabur fitnah yang bukan-bukan terhadap saya di kalangan penjaja-penjaja lain,” kata wanita itu.

Pada jam sekitar jam 10 pagi semalam, suami wanita tersebut muncul di Pasar Sentral dan bertindak mengambil sebatang kayu lalu memukul kepala penjaja lelaki tersebut.

Keadaan menjadi kecoh apabila penjaja itu terus tumbang dan berlumuran darah di bahagian kepalanya.

Nasib baik penjaja lain berjaya menghalang suami wanita itu daripada terus mencederakan penjaja lelaki tersebut.

Orang awam kemudian menghubungi ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa penjaja itu ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan segera.

Wanita tersebut kemudiannya pergi ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kes itu.


Jumaat, 28 September 2012

Pembunuhan Edwin Terus Dikutuk


MIRI: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kematian Edwin Singa yang dibunuh di Lawas Jumaat lepas, merupakan satu tragedi yang dikutuk dan dianggap kejam oleh pelbagai pihak.

Jelasnya, kes pembunuhan berkenaan meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada keluarga serta seluruh masyarakat kerana perbuatan tersebut kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Saya mengkategorikan kes ini sebagai pembunuhan tragis dan terkutuk yang tidak diterima oleh masyarakat Lawas khususnya.

“Oleh itu, saya telah menghubungi pihak berkuasa Lawas bagi menyiasat secara terperinci dan keadilan perlu ditegakkan.

“Selama ini kita hidup dalam suasana aman dan harmoni dan kejadian yang berlaku tersebut amat me-nyedihkan.

“Saya berharap semua pihak bertenang dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh menegangkan lagi keadaan,” jelasnya sambil memberitahu beliau ketika kejadian berada di Korea Selatan bagi menghadiri Persidangan Air Antarabangsa.

Awang Tengah turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang khabar angin atau spekulasi sehingga menjadikan ia sebagai isu perkauman atau agama, kerana kes berkenaan telah menjadi kes jenayah yang sedang disiasat oleh pihak polis.

Sehubungan itu, beliau turut berterima kasih dan kagum dengan kerjasama, keprihatinan serta peranan yang diberikan oleh seluruh masyarakat dalam bersama menentang kes jenayah tersebut agar tidak berlaku lagi.

Selasa lalu, sekumpulan ahli keluarga mangsa dan masyarakat Lun Bawang telah mengadakan demonstrasi aman sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Balai Polis Lawas untuk meminta keadilan bagi menyiasat kematian Edwin Singa dan mengambil tindakan terhadap jenayah yang berlaku di Lawas.

Mereka menjelaskan ia tiada kaitan dengan bangsa atau agama tetapi bantahan terhadap keadaan jenayah yang berlaku di daerah tersebut.

Namun sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menaikkan kemarahan masyarakat dengan menyebarkan di laman sosial Facebook, sistem pesanan ringkas (SMS) dan teknologi lain dengan menggembar-gemburkan kes terbabit adalah pertembungan kaum dan Lawas kini berada di bawah perintah berkurung.

Hal berkenaan telah dinafikan oleh pihak polis yang mengecam ia sebagai fitnah dan tidak benar.


Coretan :- Semoga pihak polis dapat menyelesaikan kes bunuh Edwin secepat mungkin. Miri.Net turut bersimpati diatas apa yang terjadi. Harap pembunuh2 kejam yang terlibat akan menerima hukuman yang setimpal...


Wanita Bersuami Dua

Pasang (kiri) bersama abangnya, Mingmar Lama yang berkongsi seorang isteri

UPPER DOLPA, Nepal – Apabila Tashi Sangmo berusia 17 tahun, gadis itu mengahwini jirannya yang berumur 14 tahun dan adik lelakinya di sebuah kampung di pedalaman banjaran Himalaya di Nepal.

Pada zaman dahulu, anak-anak lelaki dalam hampir setiap keluarga di rantau ini akan berkongsi seorang wanita sebagai isteri.

Dikenali sebagai poliandri, amalan tersebut semakin terpinggir setelah masyarakat Nepal terdedah kepada budaya kehidupan moden.

Namun, beberapa buah perkampungan terpencil di Himalaya masih mengamalkan budaya bersuami lebih daripada satu itu.

“Budaya ini memudahkan hidup wanita kerana segala harta kekal dalam satu keluarga. Tiada pembahagian kekayaan dalam kalangan isteri seperti amalan poligami,” kata Sangmo.

“Semua pendapatan dikawal oleh saya. Mereka (suami-suaminya) pula bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga ini,” tambahnya.

Apabila Sangmo berkahwin dengan Mingmar Lama 14 tahun lalu, kedua-duanya faham bahawa adik lelaki suaminya, Pasang akan menyertai rumah tangga mereka kelak. Ketika itu, Pasang baru berusia 11 tahun.

Keluarga berkenaan kini memiliki tiga anak lelaki dengan masing-masing berusia lapan, enam dan empat tahun.

“Saya mahu berkongsi ikatan perkahwinan ini bersama abang saya kerana hidup kami akan menjadi lebih mudah,” kata Pasang, 25, di rumah mereka yang terletak di kampung Simen pada ketinggian 4,000 meter dari aras laut.

Masyarakat terpencil di rantau ini mengamalkan poliandri bagi mengelakkan sesebuah keluarga membahagi-bahagikan harta mereka. Perasaan cemburu pula tidak wujud dalam kalangan mereka.

“Saya tidak cemburu berkongsi isteri dengan abang saya. Jika saya cemburu, pastinya saya akan mengahwini wanita lain,” kata seorang lagi pemuda yang mengamalkan budaya poliandri yang dikenali sebagai Pema.

Dia dan abangnya, Karma dengan rela hati berkongsi seorang isteri berusia 30 tahun, Shitar Dorje.

Keluarga poliandri biasanya bersikap tidak kisah berhubung isu bapa kandung dengan anak-anak mereka memanggil kedua-dua bapa dan bapa saudara sebagai “ayah”.

Rantau terpencil ini terletak sekitar 500 kilometer dari ibu negara Nepal, Kathmandu. – AFP


1,000 Jemaah Haji Wanita Nigeria Terkandas Di Jeddah

Sekumpulan jemaah haji wanita dibenarkan memasuki Mekah

ABUJA - Kerajaan Arab Saudi telah menolak kemasukan lebih 1,000 jemaah haji wanita dari negara ini kerana tidak ditemani oleh lelaki atau mahram masing-masing, kata beberapa pegawai Nigeria kelmarin.

Semua wanita itu mulai tiba di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, Arab Saudi Ahad lalu jelas satu laporan yang dikumpul oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan Nigeria yang mengawal selia jemaah haji Nigeria ke Mekah.

"Apabila ditanya oleh pegawai Suruhanjaya Haji Kebangsaan, mereka diberitahu bahawa jemaah haji itu ditahan kerana tiada mahram," kata laporan yang diserahkan kepada wakil jawatankuasa hal ehwal luar Nigeria.

Kira-kira 171 jemaah haji wanita itu pulang ke Nigeria menerusi satu penerbangan kelmarin.

"Mereka tidak diusir, sebaliknya dihantar pulang oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan kerana malu dengan pihak berkuasa Arab Saudi," kata jurucakap suruhanjaya, Umar Bala kepada agensi beritaAFP.

Satu perbincangan dua hala sedang dijalankan di antara para pegawai kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu itu, tambah beliau.

Katanya, seramai 1,000 jemaah haji wanita masih terkandas di lapangan terbang sama. - AFP


Peniaga Rentung Di Dalam Innova

Innova milik Yan Seng yang hangus selepas melanggar pokok

MELAKA – Hajat seorang lelaki mahu membuka perniagaan menjual alat penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah pada Sabtu ini tidak kesampaian apabila dia mati rentung selepas kenderaan Toyota Innova yang dipandunya melanggar pokok di Lebuh AMJ berhampiran Cheng di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, Chan Yan Seng (gambar kecil), 32, mati di tempat lokasi apabila kenderaan yang dipandunya hangus terbakar manakala mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, semasa kejadian, Yan Seng memandu seorang diri dari arah Cheng Perdana menuju ke Alor Gajah.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan tersebut terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok menyebabkan kenderaan itu terbakar dan mangsa yang tersepit rentung,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.


Penyelam Tanda Ikan Jerung Paus Di Galapagos

Ikan jerung paus dilihat di Kepulauan Galapagos 

KEPULAUAN GALAPAGOS, Equador – Pihak Taman Negara Galapagos, Yayasan Charles Darwin dan Universiti California melaksanakan operasi penandaan ikan paus jerung di sekitar kepulauan ini.

Beberapa penyelam daripada tiga organisasi tersebut melekatkan penanda elektronik ke sirip spesies ikan terbesar di dunia itu.

Penanda elektronik tersebut dihubungkan dengan sebuah satelit bagi memudahkan lokasi ikan tersebut dikesan.

Projek berkenaan bertujuan untuk memudahkan saintis-saintis memahami proses migrasi spesies itu secara lebih mendalam pada peringkat tempatan, serantau dan global.

Kepulauan Galapagos yang merupakan milik Equador terletak di Lautan Pasifik timur, sekitar 972 kilometer ke barat pantai negara berkenaan di rantau Amerika Selatan. – Agensi


Bersemadi Di Gunung Tabai


Anggota penyelamat dan penduduk kampung menyertai operasi di Gunung Tabai, Bau semalam

BAU: Mendiang Lee Sze Chun yang terbunuh selepas dihempap batu di dalam terowong di Gunung Tabai di sini, terpaksa disemadikan di tempat kejadian berikutan operasi mengeluarkan mayat mangsa dihentikan semalam atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol berkata, keputusan tersebut terpaksa diambil ekoran keadaan di dalam terowong tersebut yang semakin merekah dan dikhuatiri runtuh jika operasi diteruskan.

“Kita telah berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa, namun keadaan tidak mengizinkan kerana keadaan di dalam terowong tersebut yang semakin berbahaya di mana banyak batu-batu mula merekah dan runtuh menyebabkan kita terpaksa menghentikan operasi ini atas faktor keselamatan.

“Selain itu, batu yang menghempap mayat mangsa juga sangat sukar untuk dialihkan kerana ia terlalu besar dan ruang terowong tersebut yang sempit serta keadaan mayat mangsa yang semakin tertimbus juga menjejaskan operasi kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus operasi mengeluarkan mayat mangsa dihentikan sekitar jam 4 petang semalam.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali semasa ditemui pemberita memberitahu, pihaknya pasrah dengan keputusan tersebut.

“Apa yang kami harapkan hanya tinggal harapan sahaja… namun kami percaya anggota penyelamat mempunyai sebab mengambil keputusan sedemikian,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada penduduk tempatan yang menyertai operasi tersebut, Tapa Monya, 60, dari Kampung Bijuray turut menceritakan detik cemas semasa di dalam terowong itu.

“Kami seramai 11 orang memasuki terowong tersebut untuk mengeluarkan mayat mangsa, namun keadaan di dalam terowong yang sempit menyukarkan kami untuk bergerak.

“Tambahan pula, semakin kami cuba mengalihkan batu yang menghempap mayat mangsa, semakin banyak batu besar jatuh di dalam terowong.

“Selain itu, pada awal operasi kami boleh berdiri di dalam terowong tersebut tetapi bahagian atas terowong tersebut semakin menurun menyebabkan kami hanya mampu merangkak sahaja untuk keluar dari terowong,” katanya.

Isteri mangsa yang dikenali sebagai Ah Mei juga berada di lokasi kejadian semasa operasi dijalankan, namun gagal mengawal emosinya semasa diberitahu mengenai keputusan menghentikan operasi mengeluarkan mangsa, semalam.

Dalam pada itu, semasa operasi semalam, pihak polis menjumpai beberapa bungkusan tanah dipercayai telah dikorek dan disembunyikan tidak jauh dari tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang berusia 33 tahun bersama sembilan rakannya memasuki kawasan larangan tersebut untuk mencari emas sekitar jam 11 malam Rabu lepas sebelum kejadian malang itu berlaku, dipercayai antara jam 2 pagi dan 3 pagi kelmarin.

Mangsa yang dikatakan berada agak jauh dari rakan-rakannya dipercayai gagal menyelamatkan diri apabila sebongkah batu sebesar sebuah kereta Perodua Kancil menghempapnya, sekali gus menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.


Bieber Sedih Kematian Avalanna Routh

Avalanna Routh dirawat di hospital Boston, Amerika Syarikat

WASHINGTON - Bintang pop remaja, Justin Bieber kelmarin berkabung selepas mendengar berita kematian pesakit kanser berusia enam tahun yang pernah menjadi isteri olok-oloknya, Avalanna Routh.

"Seorang yang mempunyai semangat tinggi dan saya kenali sudah tiada. Bersemadi dengan tenang Avalanna. Saya sayang kamu," kata Bieber di laman Twitternya.

Penyanyi berusia 18 tahun itu menulis mesej berkenaan selepas keluarga Routh mengumumkan berita kematian Avalanna di laman blog mikro Twitter.

Routh yang berasal dari Merrimac, Massachusetts menghidap penyakit ketumbuhan di bahagian otak yang digelar AT/RT semasa berusia sembilan bulan.

AT/RT merupakan gangguan otak yang jarang berlaku dan biasanya akan menyebabkan kematian penghidapnya dalam tempoh setahun.

Pada Ogos 2011, Institut Kanser Dana-Farber di Boston mengadakan majlis perkahwinan olok-olok antara dia dan Bieber.

Bieber pernah menjemput Routh yang juga peminat tegarnya ke New York untuk menyambut Hari Kekasih bersama-sama.

Hanya sekitar 30 kes baharu AT/RT disahkan di Amerika Syarikat setiap tahun. Peluang pesakit yang menghidapnya untuk terus hidup cuma sepuluh peratus. - AFP


Dituduh Meminta Khidmat Seks

Ng bersama isterinya meninggalkan mahkamah selepas perbicaraannya selesai

SINGAPURA - Seorang saksi utama kelmarin memberi gambaran jelas mengenai hubungan intimnya dengan seorang bekas pegawai polis Singapura yang dituduh menuntut khidmat seks sebagai balasan untuk membantu mendapatkan kontrak bekalan kerajaan.

Saksi itu, Cecilia Sue, 36, yang menjual teknologi komputer kepada agensi kerajaan berkata, Ng Boon Gay, 46, memberikan maklumat sulit kepadanya bagi membantu mendapatkan kontrak ketika tertuduh menjadi Pengarah Biro Narkotik Pusat pada tahun 2011.

Pihak pendakwa raya berkata, Ng meminta seks oral daripada Sue sebanyak empat kali bagi melanjutkan kepentingan perniagaannya.

Tindakan itu nyata melanggar undang-undang antirasuah di negara ini. Bukti baharu yang dibentangkan di mahkamah menunjukkan mereka pernah mengadakan hubungan seks.

"Saya tanya dia sekiranya ada bajet lebih. Adakah ia kira-kira $300,000? Dia menyebut ia lebih kurang beberapa ratus ribu (dolar Singapura)," kata Sue ketika disoal siasat oleh pihak pembelaan.

Ditanya sama ada Ng mempengaruhi keputusan pemberian tender untuk membekalkan perkakasan dan perisian komputer kepada lembaga narkotik dengan memberitahu bajet, Sue menjawab: "Ya!"

Kelmarin, Sue memberitahu mahkamah dia membuat keputusan untuk melaporkan kelakuan Ng kepada pihak berkuasa kerana takut. Tetapi peguam bela mempersoalkan kredibilitinya. - AFP


Penunggang Maut Setelah Motosikal Terbabas

Mayat mangsa terbaring ditutupi surat khabar

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan terbunuh setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas berhampiran Jalan Lintas Kepayan awal pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Azuan Harun, 20, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pusat bandar kira-kira jam 2 pagi terbabit yang turut menyaksikan jalan licin akibat hujan lebat semalaman.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati motosikal mangsa telah terbabas di bahu jalan terbabit dan meninggal dunia akibat kecederaan teruk sehingga badan mangsa terlipat dua.

“Kita difahamkan mangsa sendirian menunggang motosikal dan tiba-tiba terbabas di lokasi berkenaan.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Jauteh menambah, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Khamis, 27 September 2012

Samsung Lancar Galaxy Note II

Menunjukkan beberapa buah telefon pintar Galaxy Note II pada majlis pelancarannya

SEOUL - Syarikat gergasi elektronik Korea Selatan, Samsung Electronics semalam melancarkan model telefon pintar terbaharunya, Galaxy Note II hanya seminggu selepas telefon pintar iPhone 5 keluaran Apple Inc. dipasarkan.

Galaxy Note II yang diperkenalkan buat pertama kali di Berlin bulan lalu akan dijual di 128 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi.

Gajet itu lebih besar daripada model-model utama telefon pintar siri Galaxy S. Seperti model sebelum ini, Galaxy Note II turut didatangkan bersama pen S bagi menulis nota dan melukis pada skrinnya.

Ia dijana perisian Android buatan Google dan dilengkapi pemprosesan quad core yang lebih laju berbanding versi pertama.

Galaxy Note II menampilkan skrin sentuh berukuran 14 sentimeter (sm), lebih besar daripada versi sebelum ini yang bersaiz 13.5sm.

"Kami percaya jualan Galaxy Note II di seluruh dunia untuk tiga bulan pertama akan meningkat tiga kali ganda berbanding model sebelum ini," kata ketua perniagaan komunikasi mudah alih Samsung, J. K. Shin.

Versi terbaharu itu membolehkan para pengguna membahagikan skrin kepada dua bahagian untuk melayari dua program sekali gus pada satu-satu masa.

Galaxy Note pertama terjual lebih 10 juta unit sejak dilancarkan pada November tahun lalu. - AFP


Kerjaya Shila Ke Peringkat Asia

Shila bersama trofi kejuaraan Asian Wave 2012 ketika tiba di KLIA, Sepang semalam

SEPANG – Juara pertandingan Asian Wave 2012, Shila Amzah bakal menandatangani kontrak dana pembangunan untuk mengembangkan kerjayanya di peringkat Asia bernilai RM5 juta tidak lama lagi.

Dana tersebut akan dikongsi bersama pemenang tempat kedua pertandingan tersebut iaitu Chang Shilei dan ketiga, Huo Jun yang kedua-duanya artis dari China.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22, yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, jumlah sebenar habuan itu belum dapat dipastikan kerana pihaknya masih meneliti kontrak yang disediakan oleh Shanghai Media Group, sebuah syarikat media terbesar di China.

“Setakat ini belum tahu jumlah sebenarnya kerana hadiahnya bukan berupa wang ringgit sebaliknya dana pembangunan kerjaya sebagai persediaan melahirkan bintang Asia yang seterusnya.

“Apa yang diberitahu, jumlah RM5 juta itu akan dikongsi bersama pemenang tempat kedua dan ketiga. Pihak saya akan meneliti kontrak selama seminggu, kemudian kami akan terbang ke Shanghai semula untuk majlis menandatangani kontrak,” ujarnya.


Penemu Duga Rogol Dan Samun Dicekup

Dicekup kerana disyaki merogol seorang mangsa di sebuah hotel di Cheras baru-baru ini

KUALA LUMPUR - Lelaki yang menyamar sebagai penemu duga jurujual wanita dengan tawaran gaji RM400 sehari sebelum menyamun dan merogol mangsa ditangkap polis semalam selepas menjadi buruan sejak 20 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang bekerja sebagai jurujual jam tangan berusia 29 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Seksyen 27 Shah Alam pada pukul 2.30 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal polis percaya suspek sudah terlibat lebih tiga kes rogol dan samun di Lembah Klang dalam tempoh dua tahun lalu.

"Suspek yang menyamar sebagai penemu duga sebelum merogol dan menyamun gadis yang dipanggil temu duga di hotel ditahan awal pagi semalam," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.


Penunjuk Perasaan Bertempur Dengan Polis Di Sepanyol

Penunjuk perasaan berhimpun dekat bangunan Parlimen Sepanyol kelmarin

MADRID - Beribu-ribu orang berarak menuju ke bangunan Parlimen di sini kelmarin bagi membantah pelan penjimatan dan kenaikan cukai oleh kerajaan Sepanyol semalam.

Namun, kemaraan mereka dihalang oleh lebih 1,000 anggota polis pencegah rusuhan dengan menyebabkan mereka terpaksa berhimpun di beberapa jalan berhampiran.

Kekacauan tercetus apabila polis mula memukul sebahagian penunjuk perasaan dengan menggunakan baton selepas mereka merosakkan sekatan pihak berkuasa dan membaling batu serta botol.

"Pemimpin-pemimpin politik cuma mementingkan syarikat-syarikat besar dan telunjuk pasaran kewangan," kata seorang pengatur cara komputer berusia 27 tahun, Aitor Llorens yang menyertai demonstrasi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Nasional Sepanyol menyatakan, seramai 38 orang ditangkap dan 64 lagi cedera dalam pertempuran tersebut.

Seorang jurucakapnya berkata, sejumlah 27 orang yang cedera itu merupakan anggota polis.

Sepanyol kini berada di ambang kemelesetan ekonomi dengan Kesatuan Eropah menawarkan pinjaman mencecah euro100 bilion (RM396.3 bilion) untuk menyelamatkan institusi perbankan di negara berkenaan. - AP


Hukum Gantung Kerana Bunuh Bos

Narayanan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga India selepas dia didapati bersalah membunuh majikannya, peguam Datuk R. Anpalagan di sebuah kuil di Kampung Perepat, Klang pada Jun 2011.

Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap R. Narayanan, 25, melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, beliau menolak alasan pihak pembelaan bahawa provokasi merupakan punca berlakunya kejadian bunuh itu.

Sebaliknya, Mohd. Sofian berkata, tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan dan kematian mangsa.


Madonna Panggil Obama Muslim Berkulit Hitam


LOS ANGELES - Bintang pop, Madonna mencetuskan kekeliruan dalam kalangan peminatnya apabila menggesa mereka mengundi Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tetapi pada masa yang sama memanggil pemimpin itu sebagai seorang Muslim berkulit hitam.

Rakaman ucapan Madonna, 54, disiarkan di internet kelmarin. Klip itu dilaporkan dirakam semasa satu konsert Madonna di Washington DC pada Isnin lalu.

"Memang menakjubkan dan luar biasa untuk mengetahui kita memiliki seorang pemimpin berketurunan Amerika-Afrika di White House.

"Jadi, lebih baik anda semua mengundi Obama. Untuk lebih baik atau lebih buruk, kita mempunyai seorang lelaki Muslim berkulit hitam di White House. Ini bermakna masih ada harapan dalam negara ini," kata Madonna dalam ucapannya.

Menurut satu kajian awal tahun ini, lebih satu daripada tiga pengundi parti Republikan yang berfahaman konservatif masih berpendapat Obama seorang Muslim, hampir empat tahun selepas kemenangannya.

Obama menjadi Presiden kulit hitam pertama AS selepas memenangi pilihan raya pada tahun 2008.

Pilihan raya Presiden pada 6 November depan bakal menyaksikan Obama dicabar calon parti Republikan, Mitt Romney. - AFP


Suspek Kes Tembak Rakan Ditahan

Sebahagian wang rompakan berjumlah RM1.23 juta yang ditemui semula baru-baru ini

TAIPING – Persembunyian seorang lelaki yang disyaki menembak mati rakan setugasnya sebelum merompak wang sebanyak RM1.23 juta tidak ke mana apabila dia akhirnya diberkas selepas lebih tujuh hari hidup bagaikan pelarian di Thailand.

Pengawal keselamatan berusia 25 tahun yang sebelum ini diburu bagi membantu siasatan kes itu diberkas pada pukul 11 pagi kelmarin di kawasan bukit di Kampung Syed Omar, Kangar, Perlis dalam keadaan letih dan tidak bermaya kerana kebuluran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, sebelum ditangkap, suspek dipercayai merancang untuk melarikan diri ke Thailand buat kali kedua melalui Perlis.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek utama itu, pihaknya menganggap kes seorang pemandu van keselamatan, Hasnol Hafiz Saad, 28, yang ditemui mati dengan empat kesan tembakan di dada di Jalan Tekah-Aulong di sini pada 18 September lalu sebagai selesai.


"Tolong Bawa Pulang Hamidah"

Mohd. Noor dan isterinya, Aishah menunjukkan gambar Hamidah semalam

ALOR SETAR – Seorang pesakit saraf merayu bantuan mana-mana pihak untuk membawa pulang anak perempuannya yang terpisah sejak 11 tahun lalu selepas dipercayai mengikut teman lelakinya ke Lampung, Indonesia.

Mohd. Noor Shaari, 75, berkata, anak perempuannya, Hamidah, 46, telah berkahwin dengan lelaki dari Lampung tersebut dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia sembilan tahun.

“Dia (Hamidah) ada beberapa kali menghubungi kami dan kali terakhir dua minggu lalu dia beritahu mahu pulang ke Malaysia kerana terlalu rindukan keluarga.

“Tetapi Hamidah beritahu suaminya, Taufik tidak benarkannya pulang menyebabkan dia tertekan dan kerap menangis setiap kali bercakap dengan saya dan ibunya,” ceritanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Wira, Mergong di sini semalam.


Obama Kutuk Keganasan

Barack Obama

NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengutuk filem anti-Islam dan keganasan di Asia Barat yang tercetus akibat filem itu, sambil menegaskan 'tiada ucapan yang boleh menjustifikasikan keganasan kejam ini.'

Beliau berkata demikian di hadapan perwakilan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kelmarin (PBB) dengan menyatakan bahawa tiada perkataan yang boleh dijadikan alasan untuk membunuh orang tidak bersalah dan tiada filem yang boleh menjustifikasikan serangan ke atas pejabat kedutaan.

Obama berkata, filem itu bukan sahaja penghinaan kepada orang Islam, malah menghina AS.

Komen itu dinyatakan oleh Obama selepas protes ganas tercetus di Asia Barat dan Afrika Utara berikutan penyebaran filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Keganasan itu telah membunuh empat orang warga AS termasuk dutanya di Benghazi, Libya, Chris Stevens dan lebih 50 orang lain. - AP


Empat Maut, 14 Cedera Letupan Di Damsyik

Kepulan asap tebal dilihat keluar dari ibu pejabat tentera Syria di Damsyik semalam

DAMSYIK, Syria - Seramai empat orang maut dan 14 lagi cedera dalam dua letupan kuat selang 10 minit yang menggegarkan pusat bandar ini berhampiran ibu pejabat tentera darat dan udara semalam, lapor agensi berita rasmi negara itu.

Menteri Penerangan, Omran Zoubi memberitahu, letupan itu disebabkan oleh dua butir bom dengan salah satu daripadanya mungkin diletakkan di dalam ibu pejabat tentera.

Kedua-dua letupan yang berlaku selang seminit di antara satu sama lain sebelum pukul 7 pagi waktu tempatan berhampiran dataran Omayyad itu memecahkan tingkap bangunan berdekatan dan boleh didengari sejauh beberapa kilometer.

Kepulan asap tebal berwarna hitam menyelubungi pusat bandar ini dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian ketika polis menutup kawasan itu kepada lalu lintas.

Damsyik telah digegarkan oleh satu siri bom kereta dan pengeboman tepi jalan sejak beberapa bulan lalu ketika pemberontakan terhadap rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad bermula pada Mac tahun lepas bagi menuntut perubahan politik.

Sejak itu, kumpulan pemberontak mula mengangkat senjata apabila konflik bertukar menjadi perang saudara yang didakwa aktivis sudah meragut kira-kira 30,000 nyawa. - AP