Isnin, 4 Mac 2013

Bertahlil Peringati Pejuang

Majlis tahlil memperingati pejuang Rosli Dhoby serta sahabat di Makam Pahlawan

SIBU: Lebih 200 orang membanjiri kawasan Makam Pahlawan Masjid An Nur Sibu bagi menunaikan hasrat melaksanakan majlis tahlil bagi memperingati arwah Rosli Dhoby dan pejuang-pejuang yang lain iaitu Awang Rambli Amit, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong, di sini pagi kelmarin.

Majlis tahlil memperingati pejuang Sarawak itu diketuai oleh Mohamad Basri di sekitar kawasan makam pahlawan tersebut.

Program memperingati para pejuang itu dianjurkan bersama dengan keluarga Allahyarham Rosli Dhoby, Pertubuhan PEKIDA Malaysia Simpang Tiga Sibu dan Persatuan Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) Cawangan Sibu.

Dalam pada itu, ia bertujuan mewujudkan kesedaran kepada generasi muda zaman sekarang tentang semangat perjuangan yang telah dicurahkan oleh pejuang-pejuang tersebut dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi dalam kemajuan pembangunan pada masa akan datang.

Pihak penganjur turut mengadakan kempen derma darah untuk mengisi bekalan darah di Bank Darah Hospital Sibu dan Sarikei yang dilaksanakan di sekitar ruang legar Masjid An-Nur Sibu, Jalan Awang Rambli Amit di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Murni Suhaili, Yang Dipertua PEKIDA Cawangan Sarawak Musa Aini dan Ketua Biro Agama dan Dakwah Nusyirwan Adil Jamali. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan