Selasa, 12 Mac 2013

Rumah Noriah Terus Usang

Beginilah keadaan rumah keluarga Noriah di Kampung Hilir Laut, Kabong

KABONG: “Adakah ini takdir keluarga kami dan perlukah kami pasrah dengan keadaan ini,” keluh Noriah Mohamad, 56, dari Kampung Hilir Laut, Kabong di sini mengenangkan nasib yang membelenggu keluarganya.

Keluhan tersebut terkeluar dari mulutnya berikutan kekecewaan setiap kali keluarganya memohon bantuan seperti Program Bantuan Rumah (PBR) atau bantuan baik pulih rumah berkesudahan dengan tanpa maklum balas atau jawapan sama ada sedang dipertimbangkan, gagal mahupun diluluskan daripada pihak berwajib.

Noriah berkata, keluarganya telah menghantar permohonan lebih daripada tiga kali sejak beberapa tahun lalu.

“Namun hingga kini, keluarga saya belum lagi menerima sebarang berita mengenai status permohonan terbabit, malah setiap kali kami mengajukan soalan untuk mengetahui status permohonan itu, pihak berkaitan akan memaklumkan agar bersabar dan sedang dalam proses.

“Penantian yang tidak pasti ini amat menyeksakan, hingga kini rumah tempat kami berteduh selama ini hampir roboh menyembah bumi kerana semua struktur binaan telah buruk dimamah usia,” kata Noriah ketika ditemui menceritakan permasalahan yang membelenggu keluarganya.

Tambah Noriah, beban yang ditanggung keluarganya bertambah apabila suaminya, Abang Kifli Abang Spawi, 54, menghidap pelbagai penyakit seperti ketumbuhan di bahagian perut dan mengalami keretakan di bahagian bahu dan tulang rusuk.

“Selama ini dialah yang menyara keluarga kami dengan bekerja di sebuah sawmill di Sarikei dengan gaji RM24 sehari. Namun, sejak kebelakangan ini akibat tahap penyakit yang dialami semakin teruk dia kerap berehat daripada bekerja dan ini menjadikan beban keluarga semakin bertambah,” jelas Noriah.

Menurutnya, hingga kini keluarganya telah menjadikan kediaman pekerja di kilang terbabit sebagai tempat tinggal utama mereka berikutan kediaman mereka di Kabong tidak selamat lagi untuk diduduki.

Katanya rumah mereka itu adalah ihsan penduduk yang didirikan dengan kerjasama penduduk dan bahan binaannya disumbangkan oleh penduduk yang prihatin.

“Pada Tahun Baharu Cina lalu, kami sekeluarga berniat memindahkan beberapa barangan yang terdapat di rumah kami tetapi niat itu terpaksa dibatalkan berikutan keadaan rumah itu tidak mengizinkan dan tidak selamat untuk dikunjungi lagi kerana papan lantai, tiang nibong dan atap rumbia telah reput dan menunggu masa untuk rebah.

“Sehingga tahun lalu, kami sekeluarga tiga kali beraya di rumah pekerja di kilang ini dan pada tahun ini nampak gaya sekali lagi keluarga kami terpaksa beraya di lokasi yang sama,” ujarnya dalam nada sedih.

Menurut Noriah, bukan niat keluarganya untuk tidak berusaha memperbaiki rumah terbabit namun kesempitan hidup menyebabkan mereka memendamkan sahaja niat itu.

“Kami amat mengharapkan agar ada pihak tampil membantu kami sekeluarga menyelesaikan masalah dan meringankan beban kami tanggung ini,” rayunya. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan