Azham memperkatakan sesuatu kepada Ida Zarina yang cedera disamun
KOTA BHARU – Seorang doktor pakar mengalami detik cemas apabila bukan sahaja kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Grand Livina miliknya lesap malah, dia cedera di beberapa anggota badan akibat disamun di Kampung Demit di sini kelmarin.
Kejadian pukul 7 pagi itu berlaku ketika Dr. Ida Zarina Zaini, 38, yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berada dalam kenderaan tersebut di depan rumah sementara menunggu tiga anaknya masuk untuk dihantar ke sekolah.
Mengimbau semula kejadian itu, Ida Zarina memberitahu, tanpa disangka, seorang lelaki berwajah bengis tiba-tiba membuka pintu pemandu menyebabkan dia tersentak dan menjerit.
“Saya kemudian tergesa-gesa ke kerusi penumpang depan sebelum suspek terus mengundurkan kenderaan dengan laju. Tanpa berfikir panjang, saya terus membuka pintu dan terjun sebelum tercampak menyebabkan saya cedera di kepala, lengan dan kaki.
“Suspek kemudian terus memecut kereta,” ceritanya ketika ditemui di HUSM di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal dengan melakukan Ops Tutup sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
“Kita sedang mengesan penjenayah berusia lingkungan 30-an tersebut berdasarkan beberapa maklumat yang kita peroleh daripada saksi kejadian.
“Suspek dipercayai datang dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira hitam bersama seorang rakan sejenayahnya,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Ekoran kejadian itu, mangsa dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM80,000 dan tiada barangan berharga lain berada di dalam kenderaan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan