Rabu, 5 September 2012

Jongkong Aluminium RM1 Juta Disamun

Jongkong aluminium yang ditemui semula selepas disamun 

JOHOR BAHRU - Polis berjaya mematahkan cubaan samun dua buah treler yang membawa muatan berisi jongkong aluminium yang kesemuanya bernilai RM1 juta dalam tempoh 45 minit ekoran penahanan lima lelaki di sekitar kawasan Pasir Gudang di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Shariff berkata, kelima-lima suspek yang diberkas membabitkan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang berusia antara 23 hingga 61 tahun.

Suspek-suspek itu diberkas selepas mereka menyamun dua buah treler berisi jongkong aluminium di Jalan Prima 1, Taman Perindustrian Tebrau 1, Bandar Dato On.

Menurut beliau, sebelum itu, polis pada pukul 10.26 malam, 29 Ogos lalu menerima maklumat mengenai sebuah treler yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Taman Perindustrian Tebrau di sini.

"Hasil maklumat tersebut, polis dalam masa 45 minit berjaya mengesan treler tersebut di kawasan Setia Indah. Treler tersebut dipandu laju sebaik menyedari kereta peronda polis," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Mohd. Mokhtar berkata, treler tersebut terus dikejar polis sehingga sampai di satu kawasan di Pasir Gudang sebelum kenderaan tersebut terbabas dan terbalik.

"Polis kemudian dapat menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang menaiki treler yang penuh dengan muatan jongkong aluminium," kata beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan