Khamis, 20 September 2012

Wanita Bersenam Cedera Dirempuh Motosikal


SIBU: Seorang wanita yang sedang bersenam cedera selepas dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki dalam kemalangan di Lorong 5, Sibu Jaya dekat sini lewat petang kelmarin.

Dalam insiden sekitar jam 7 malam itu, orang ramai turut menjumpai sebotol minuman keras berhampiran motosikal yang terbabas itu yang membawa kepada anggapan bahawa kedua-dua penunggang tersebut berada dalam pengaruh alkohol.

Difahamkan motosikal jenis Modenas yang ditunggang dua lelaki tersebut hilang kawalan lalu melanggar penghadang konkrit di tepi jalan sebelum merempuh seorang wanita dikenali sebagai Nor Abidah, 45, yang sedang bersenam bersama rakannya.

Rempuhan menyebabkan Nor cedera di kepala dan muka sementara penunggang motosikal dikenali sebagai Steven Chua, 17, terhumban ke bahu jalan dan terus tidak sedarkan diri.

Steven yang cedera di muka, kedua-dua belah lutut dan lengan kanan kemudian dialih orang awam ke tepi jalan manakala rakannya berumur lingkungan 30-an yang membonceng motosikal hanya cedera ringan.

Menurut kenalan mangsa, Steven dan rakannya itu telah meminjam motosikal daripada rakan yang lain untuk pulang ke rumah selepas menyertai sesi minum di sebuah kedai kopi berhampiran tempat kejadian.

Ahli keluarga Nor yang dimaklumkan mengenai kemalangan kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Manakala ambulans yang dihubungi orang awam tiba di tempat kejadian dan membawa Steven ke hospital. Anggota polis turut berada di tempat kejadian untuk menyiasat punca kemalangan.

Kedua-dua mangsa yang cedera telah dimasukkan ke wad dan keadaan mereka dilaporkan stabil.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan