MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menaik taraf kemudahan pasar tamu Pujut Corner dalam masa terdekat bagi memberi keselesaan kepada 118 penjaja di situ.
Datuk Bandarnya, Lawrence Lai berkata sebagai permulaan, MBM akan menempatkan beberapa penjaja ke kawasan baharu di tanah rizab MBM dalam masa terdekat.
“Sebelum ini mereka berniaga di kawasan parkir dan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas, justeru MBM mengambil keputusan untuk menempatkan mereka ke lokasi baharu iaitu tanah rizab MBM,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Lawrence memberitahu, kawasan tanah rizah berhampiran pasar tamu Pujut Corner akan dibersihkan dan sebaik sahaja kerja-kerja terbabit selesai, maka penjaja boleh berniaga di lokasi disediakan.
“Ini bertujuan untuk memberi keselesaan bukan sahaja kepada penjaja tetapi juga kemudahan untuk pelanggan berulang-alik membeli bara-ngan basah di situ,” jelasnya.
Pada masa sama, MBM akan membuat penyambungan atap selebar lapan kaki dan sepanjang 135 meter di pasar tamu itu sebagai tempat berlindung daripada hujan dan panas.
Menurutnya, penyambungan atap terbabit ditaja sepenuhnya oleh dermawan tempatan, Hii King Chiong dan kerja-kerja akan dibuat dalam masa terdepat.
Sementara itu, MBM juga akan membina semula lima meja di pasar tamu terbabit yang rosak akibat kemalangan baru-baru ini.
Selain itu, beberapa penjaja tamu berkenaan turut memohon untuk mendapatkan kemudahan kipas angin daripada MBM berikutan keadaan cuaca yang panas ketika ini.
“MBM akan mempertimbangkan permohonan mereka kerana kita tidak pernah meminggirkan golongan penjaja di sini,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, MBM juga akan menaik taraf sistem pengairan dan saliran di Kampung Pulau Melayu berikutan terdapat parit yang bertakung dan tidak mengalir dengan baik.
“Kita akan membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf sistem saliran di sini dalam masa terdekat supaya ia lancar dan tidak tersumbat dengan sampah sarap,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan