Khamis, 20 September 2012

Seorang warga emas miliki kad pengenalan orang lain didakwa


Gambar Hiasan

MIRI: Seorang warga emas didenda RM6,000 atau empat minggu penjara oleh Mahkamah Majistret petang semalam setelah mengaku bersalah terhadap dua tuduhan memiliki kad pengenalan orang lain tanpa kuasa yang sah.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Bagus Suut, 55, dari No 947, Tudan Fasa 6 di sini menghadapi dua tuduhan mengikut Seksyen 25 (1) (o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan dihukum di bawah Seksyen 25 (1) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau RM3,000, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didapati ada memiliki dua keping kad pengenalan kepunyaan individu lain masing-masing atas nama Indi Mohammad Rakawi dan Leo Spink Mujah tanpa kuasa yang sah.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.30 pagi, 13 September lalu di tempat letak kereta emart di sini.

Ketika rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya. Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah.


2 ulasan: