Khamis, 20 September 2012

Miri Bakal Jadi Antara Bandar Raya Paling Hijau

Sebastian (lapan kiri) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli NSJA

Inisiatif harus diambil oleh PBT untuk merealisasikan fokus program, beri latihan kepada kakitangan BANDAR BARU BANGI, Selangor: Miri bakal menjadi salah satu bandar raya paling hijau dengan pengeluaran karbon terendah di Malaysia.

Pemangku Ketua Pengurus Operasi Malaysia Green Technology Corporation (MGTC) Noor Akmar Shah Nordin berkata, usaha merealisasikan impian berkenaan akan bergantung sepenuhnya kepada inisiatif dan langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ia (projek) terletak sepenuhnya di tangan pihak majlis kerana memerlukan kos yang agak tinggi untuk dilaksanakan,” katanya ketika sesi penerangan kepada rombongan lawatan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) ke pejabat MGTC di sini, semalam.

Noor Akmar, PBT atau pihak-pihak berkaitan mempunyai empat fokus pilihan sama ada program yang menjurus kepada bangunan, pengangkutan, pengurusan sisa buangan mahupun alam sekitar.

Setelah itu, katanya, peringkat seterusnya adalah memberikan latihan dan garis panduan kepada kakitangan majlis atau kawasan terlibat.

Selain Miri, katanya, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Bandar Hang Tuah Jaya (Melaka) merupakan antara kawasan yang bakal terlibat dengan program berkenaan.

“Ia (program) bukanlah sesuatu yang boleh dilihat mendatangkan kesan yang segera, sebaliknya kita memerlukan masa untuk melihat kesan positif daripadanya,” jelas beliau sambil menambah, Miri juga me-rupakan salah satu bandar raya yang aktif dalam implementasi teknologi hijau setakat ini.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu MGTC mempunyai prospek yang lebih besar pada masa hadapan dalam langkah-langkah implementasi teknologi hijau.

“Kita akan bekerjasama secara besar-besaran dengan semua pihak termasuklah setiap kementerian, jabatan, agensi sama ada kerajaan atau swasta,” katanya.

Turut hadir pada lawatan berkenaan ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan