Khamis, 20 September 2012

10,000 Tin Minuman Keras Bernilai RM75,000 Dirampas

Zainuddin bersama Shuib menunjukkan antara minuman keras yang dirampas

KUCHING: Sebanyak 10,000 tin minuman keras bernilai RM75,000 telah dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah kosong di Jalan Dato Bandar Mustapha, di sini semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak ACP Zainuddin Zainal berkata serbuan oleh Bahagian Siasatan/Perancangan (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang diketuai Pegawai Turus D8 ASP Shuib Abdul Samat telah dijalankan sekitar jam 12 tengah hari semalam.

“JSJ IPK Sarawak Cawangan D8 telah menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah kosong dan telah berjaya menemui 500 kotak minuman keras yang mengandungi 10,000 tin bernilai RM75,000.

“Semasa serbuan tersebut, seorang lelaki dipercayai pemilik minuman keras tersebut telah datang dan dia gagal menunjukkan dokumen berkaitan semasa diminta menyebabkan kesemua minuman keras tersebut terpaksa dirampas,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas operasi tersebut di Balai Polis Satok, di sini semalam. Menurutnya juga serbuan tersebut adalah berdasarkan maklumat orang awam serta risikan pihak polis.

“Saya difahamkan rumah kosong tersebut yang terletak di Jalan Dato Bandar Mustapha telah disewa untuk dijadikan tempat penyimpanan minuman keras tersebut,”katanya sambil menambah seorang lelaki berusia 56 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan 10 kali ganda daripada nilai rampasan termasuk cukai yang belum dijelaskan,”katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan